Aura Ustaz Abdul Somad dijangka tarik 20,000 pengunjung

Masa Membaca:1 Minit, 38 Saat

BUKIT PALAH 6 Julai – Majlis ilmu, Program Munajat Bersama Tuan Guru Abdul Somad di Dataran Sejarah Ayer Keroh, di sini, dijadualkan 13 Julai depan dijangka mampu menarik kehadiran 20,000 hingga 25,000 pengunjung.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman berkata, program berkenaan dianjurkan Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) sempena sambutan Maal Hijrah 1445.

Katanya, majlis ilmu itu turut dijayakan dengan kerjasama beberapa agensi lain seperti Jabatan Mufti Melaka, Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) dan Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ).

Rahmad berkata, pelbagai acara diatur sepanjang program berkenaan yang bermula jam 7 malam termasuk zikir munajat dan selawat, persembahan nasyid, solat Maghrib serta Isyak berjemaah.

“Kemuncak program adalah ceramah khas menampilkan penceramah bebas dari Indonesia, Abdul Somad Batubara atau dikenali sebagai Ustaz Abdul Somad.

“Seperti yang kita tahu, beliau mempunyai jutaan pengikut di media sosial malah saluran YouTube juga mencecah jutaan tontonan, jadi beliau adalah pendakwah terkenal dan disenangi ramai.

“Dengan kehadirannya, kita sasarkan kira-kira 20,000 hingga 25,000 pengunjung akan datang. Tempat mengambil wuduk dan sejadah disediakan, tetapi orang ramai digalakkan untuk membawa sejadah sendiri,” katanya.

Beliau berkata, demikian kepada pemberita selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan Agensi Agama Islam Negeri Melaka di Auditorium Al-Azim di sini, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Pengerusi MAIM, Datuk Md Rawi Mahmud; Mufti Negeri, Datuk Abdul Halim Tawil dan Ketua Hakim Syarie Melaka, Datuk Nadzi Abdul Rahman.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ayer Molek itu berkata, antara objektif majlis ilmu berkenaan adalah mengangkat syiar Islam di bumi Melaka melalui penghayatan ibrah peristiwa hijrah.

“Selain itu kita mahu memperkasakan lagi kesatuan umat Islam dalam membangunkan syariat Islam berdasarkan manhaj Ahli Sunnah Wal Jamaah dan melahirkan ummah berjiwa besar dalam merealisasikan Malaysia Madani.

“Jadi jemputlah beramai-ramai untuk memeriahkan program itu dan menadah ilmu yang akan disampaikan ” katanya.

Jelasnya, penganjuran program terbabit juga adalah sebahagian daripada pra sambutan kepada Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024).

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

6145
Kongsi :
Previous post Anak berubah sikap selepas mendakwa dibuli
Next post Jangan sembunyi kes buli di sekolah – Exco
Ubah saiz-+=