Jangan sembunyi kes buli di sekolah – Exco

Masa Membaca:1 Minit, 20 Saat

BUKIT PALAH 6 Julai – Pihak pengurusan sekolah terutama yang berasrama di negeri ini diingatkan agar tidak ‘mendiamkan’ atau menyembunyikan kes buli dalam kalangan pelajar.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman berkata, perkara itu bagi mengelakkan sebarang insiden mahupun kemalangan tidak diingini.

Katanya, pihak pengurusan sekolah termasuk pengetua dan warden perlu memainkan peranan bagi memantau aktiviti serta pergerakan pelajar sama ada junior mahupun senior.

“Jangan sembunyi dan sekiranya ada, harus dan wajib ambil tindakan. Saya mengingatkan semua sekolah terutama sekolah berasrama memantau pelajar terutama (pelajar) junior, ada kemungkinan pada orientasi (aktiviti) tidak berkesudahan dilakukan oleh pelajar senior.

“Jadi pantau pergerakan mereka supaya tidak berlaku insiden luar jangka,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan Agensi Agama Islam Negeri Melaka di Auditorium Al-Azim, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai dakwaan seorang bapa bahawa anaknya yang berusia 14 tahun menjadi mangsa buli di asrama sejak tingkatan satu.

Bapa remaja terbabit mendakwa anak sulungnya trauma kerana menjadi mangsa buli pelajar senior sehingga menunjukkan perubahan sikap termasuk meracau.

Dalam kejadian pada jam 12.30 hari semalam, remaja berkenaan ditahan sebelum direman tujuh hari bermula hari ini hingga Rabu depan bagi membantu siasatan kerana dipercayai mencekik adiknya berusia sembilan tahun hingga maut di Kampung Pukit Piatu.

Rahmad berkata, bagi memastikan sifar kes buli di sekolah, pihaknya akan memperluaskan kempen bagi mengekang perkara itu.

“Ibu bapa diminta memainkan peranan dan tanggungjawab dengan sentiasa bertanyakan keadaan anak-anak semasa di sekolah.

“Ia termasuk layanan rakan-rakan selain kaedah pembelajaran dan persekitaran di sekolah,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1105
Kongsi :
Previous post Aura Ustaz Abdul Somad dijangka tarik 20,000 pengunjung
Next post BN hormati keputusan MCA, MIC tidak bertanding PRN
Ubah saiz-+=