Anak muda seronok ke Pameran Hang Tuah

Masa Membaca:1 Minit, 36 Saat

AYER KEROH 12 Jun – Bagaikan kembali ke zaman silam. Itu gambaran sebaik melangkah masuk ke Pameran Hang Tuah yang berlangsung sehingga 7 Julai depan di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini.

Dengan rekaan hiasan yang klasik, selain replika kapal mendam berahi bersaiz gergasi pastinya memberi pengalaman menarik kepada pengunjung.

Pameran tersebut sesuai kepada semua golongan kerana ia lengkap dengan pameran, penceritaan, infografik dan juga visual menarik untuk segenap lapisan masyarakat.

Tinjauan Melaka Hari Ini mendapati, selain golongan dewasa, pameran berkenaan turut menarik minat anak muda.

Muhd Fikri Mohd Nor, 18, ketika ditemui berkata, pameran itu merupakan sesuatu yang amat ditunggu-tunggunya kerana dia sangat meminati kisah-kisah sejarah Melayu termasuk bukti kehebatan Hang Tuah.

“Saya tahu mengenai pameran ni menerusi media sosial dan tidak sabar untuk datang melihat sendiri apa yang ada ternyata tidak mengecewakan.

“Di sini banyak manuskrip dalam pelbagai bahasa kita dapat lihat dan penceritaan yang diterangkan juga lebih terperinci jadi mudah faham.

“Menariknya juga kita dapat menonton tayangan Pelayaran Hang Tuah dalam suasana seperti kita berada di zaman dahulu,” katanya.

Untuk rekod, Pameran Hang Tuah akan diadakan selama hampir sebulan iaitu bermula 10 Jun hingga 7 Julai depan.

Pameran itu dibuka setiap hari bermula 10 pagi hingga 6 petang, kecuali Jumaat hingga Ahad yang dilanjutkan waktu sehingga jam 10 malam.

Bayaran tiket masuk yang dikenakan juga amat berpatutan iaitu RM15 bagi dewasa dan RM5 bagi kanak-kanak, manakala pelancong asing dewasa dikenakan RM20 dan RM10 (kanak-kanak).

Menariknya, pengunjung yang datang dapat menyaksikan enam segmen yang disediakan dalam pameran tersebut.

Ia merangkumi Kegemilangan Empayar Melaka; Riwayat Hidup Hang Tuah; Hang Tuah Sebagai Tokoh Diplomatik; Hang Tuah Melalui Manuskrip; Ruang Audio Visual dan Legasi Hang Tuah.

Di sini juga, pengunjung dapat melihat manuskrip Hikayat Hang Tuah dalam pelbagai bahasa, selain replika meriam terbesar Zaman Kesultanan Melayu Melaka iaitu ‘Peca de Malacca’ yang ditemukan di Muzium Militari Lisbon, Portugal.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

356
Kongsi :
Previous post Bantuan MAIM bantu persiapan sambut Aidiladha
Next post Bas ekspres langgar pembahagi jalan, tujuh cedera ringan
Ubah saiz-+=