Anak syarikat perlu jana pendapatan sendiri- KM

Masa Membaca:1 Minit, 37 Saat

BANDARAYA MELAKA 7 September – Semua anak syarikat Kerajaan Negeri diingatkan supaya mencari peluang perniagaan baharu, sekali gus menjana pendapatan sendiri.

Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, ia bagi memastikan anak syarikat tidak bergantung kepada suntikan modal daripada Kerajaan Negeri bagi urusan seperti pembayaran gaji dan pentadbiran.

“Anak syarikat mesti memenuhi petunjuk prestasi utama (KPI) sekurang-kurangnya mampu membayar gaji sendiri, boleh menjalankan perniagaan sendiri dan tidak bergantung kepada suntikan modal Kerajaan Negeri.

“Mana-mana anak syarikat yang datang jumpa kita mahukan suntikan modal kerana tidak boleh bayar gaji, ini kita tahu mereka tidak lepas KPI tersebut.

“Justeru, kita bawa mereka dalam program ini untuk memberi suntikan motivasi kepada agar mampu pergi jauh lagi,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Lab Pemantapan Prestasi Kewangan dan Tadbir Urus Bagi Pengurusan Tertinggi Agensi dan Anak-Anak Syarikat Kerajaan Negeri Melaka di sebuah hotel di sini, hari ini.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wira Zaidi Johari; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin serta Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman.

Turut hadir, Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer; Exco Belia, Sukan dan NGO negeri, V.P. Shanmugam; Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan, Ngwe Hee Sem; Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Allex Seah Shoo Chin; barisan Timbalan Exco Kerajaan Negeri, ketua jabatan serta agensi kerajaan negeri.

Mengulas lanjut, Ab Rauf berkata operasi mana-mana anak syarikat yang tidak berdaya maju akan dihentikan.

“Bagaimanapun tenaga kerja akan dipindahkan kepada anak syarikat lain yang lebih berdaya maju. Anak syarikat tidak berdaya maju ini telah diberikan ruang untuk mempertahankan pelan perniagaan mereka, kita tiada pilihan selain menutupnya.

“Kita ada enakmen sendiri untuk tidak mempertahankan syarikat-syarikat yang rugi ini. Setakat ini terdapat sebanyak 67 anak syarikat Kerajaan Negeri,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1110
Kongsi :
Previous post Remaja maut, seorang lagi parah motosikal bertembung
Next post Remaja perempuan ‘keluar tenang diri’ dijumpai selamat
Ubah saiz-+=