ANGKASA sasar lagi 2,500 peruncit, koperasi terima inisiatif perniagaan digital

Masa Membaca:1 Minit, 21 Saat

SEMABOK 8 Ogos – Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) menyasarkan 2,500 lagi peruncit dan perniagaan koperasi di negara ini bagi meneruskan perniagaan menggunakan pendekatan platform digital.

Presidennya, Datuk Abdul Fattah Abdullah berkata, pihaknya sedia membantu golongan terbabit menerusi program Projek Barang Asas 100 (BA100) bagi kelangsungan perniagaan ketika negara dilanda wabak pandemik COVID-19.

Jelasnya, pihaknya menyasarkan 3,000 peruncit dan koperasi akan menggunakan platform terbabit sepenuhnya dalam tiga tahun selepas ia dilancarkan pada pertengahan tahun lalu.

ABDUL FATAH.

“Setakat ini hanya 500 peruncit dan koperasi telah menyertai program yang dijalankan ANGKASA menggunakan platform digital iaitu JiMATShop dan JiMATbiz.

“ANGKASA sedia bantu mereka dengan inisiatif melalui nilai harga barang pendahuluan berjumlah RM10,000 dan ini akan membantu mereka memasarkan barangan secara atas talian.

“Kita percaya ia tidak boleh dilaksanakan terus kerana memerlukan kemahiran mendalam seperti menguruskan sistem pembayaran, pemasaran, pembukaan akaun serta penggunaan platform e-wallet, dan kita sedia membimbing mereka,” katanya.

Beliau ditemui media selepas program sumbangan barangan keperluan menerusi projek BA100 kepada 500 ibu tunggal melalui Koperasi Ibu Bestari Melaka Berhad di Taman Pertam Jaya, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, ujarnya, dengan peruntukan RM10,000 itu, peruncit boleh membeli barangan daripada pembekal untuk dijual semula serta berpeluang menerima tambahan peruntukan sekiranya mencapai sasaran pihaknya.

“Jika segala dokumentasi dan pembayaran mereka mengikut masa mereka boleh disenaraikan untuk menerima tambahan daripada inisiatif ini.

“Kita harap gerakan ini mampu membantu meneruskan kelangsungan perniagaan masing-masing dan menyeru semua peniaga menyemak semula keperluan dalam perancangan perniagaan mereka bagi mendapat pulangan cepat,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

747
Kongsi :
Previous post PPV Masjid Ar-Rahman tumpu kariah tiada janji temu MySejahtera
Next post Kejayaan Azizulhasni disanjung pemimpin politik di Twitter
Ubah saiz-+=