PPV Masjid Ar-Rahman tumpu kariah tiada janji temu MySejahtera

Masa Membaca:2 Minit, 8 Saat

KRUBONG 8 Ogos – Penduduk Krubong yang belum mendapat janji temu vaksinasi disaran mendaftar dengan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) masing-masing bagi suntikan vaksin COVID-19 di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Masjid Ar-Rahman, Tanah Merah, di sini.

Pengerusi Masjid itu, Rafie Ahmad berkata, PPV Masjid Ar-Rahman mula beroperasi 31 Julai lalu dan tertumpu kepada ahli kariah yang masih tidak disenarai menerima vaksin.

Katanya, kariah itu meliputi dua kampung dan tiga taman perumahan yang besar.

RAFIE.

“Bagi lokaliti di sekitar Krubong, sekiranya ada dalam kalangan kariah belum menerima janji temu vaksinasi menerusi MySejahtera, boleh beri maklumat kepada pihak masjid dan JPKK untuk diaturkan oleh pihak PPV Masjid.

“Di sini kami tidak menerima ‘walk-in’ sebaliknya ahli kariah yang mendaftar akan dihubungi menerusi panggilan telefon dan mesej untuk diberi tarikh serta masa untuk divaksin.

“Setelah selesai untuk kariah Krubong, barulah kita akan buka kepada kariah berhampiran seperti di Beringin, Kampung Belimbing Dalam dan Cheng untuk diletakkan sebagai ‘standby list’.

“Sekiranya ahli kariah tidak dapat hadir maka akan digantikan dengan penama yang sedang menunggu,” katanya ketika ditemui Melaka Hari Ini di Masjid Ar-Rahman, Tanah Merah, Krubong semalam.

RAFIE membantu sukarelawan di Stesen 3 mendaftarkan penerima vaksin di PPV Masjid.

Menerusi tinjauan MHI didapati sehingga jam 3.30 petang, PPV itu masih menerima penerima vaksin meskipun diberitahu waktu terakhir janji temu pada jam 3 petang.

PPV Masjid Ar-Rahman antara empat masjid pertama di Melaka yang dipilih menjadi PPV sementara sehingga 16 Oktober depan dan dijangka pembukaan PPV Masjid itu mampu memberi manfaat kepada lebih 2,000 penerima di kawasan Krubong.

Program vaksinasi dilakukan setiap hari Sabtu membabitkan 420 penerima dan dibantu oleh 50 sukarelawan terdiri daripada pengamal perubatan, pertubuhan bukan kerajaan dan ahli jawatankuasa masjid.

DR AIZAT (tengah) ketika memantau sukarelawan bertugas di Stesen 5 PPV Masjid Ar-Rahman.

Sementara itu, Penyelia PPV Masjid Ar-Rahman, Dr.Mohd Aizat Mohd Sofian turut berkongsi perbezaan kehadiran penerima vaksin antara minggu pertama dan minggu kedua.

“Minggu pertama kehadiran penerima kurang memberangsangkan, namun pada minggu kedua ini berjalan seperti yang direncanakan.

“Cuma berlaku sedikit kesulitan pada waktu pagi minggu kedua PPV Masjid ini dilaksanakan apabila terdapat segelintir individu cuba ‘walk-in’ untuk menerima vaksin tanpa janji temu dan terdapat individu tidak patuh waktu temu janji hingga berlaku kesesakan.

“Namun dengan bantuan sukarelawan di setiap stesen di PPV ini, masalah tersebut dapat diatasi,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

883
Kongsi :
Previous post Raih perak, Azizulhasni tidak dapat kawal tangisan
Next post ANGKASA sasar lagi 2,500 peruncit, koperasi terima inisiatif perniagaan digital
Ubah saiz-+=