Antara bonus tertinggi pernah diterima, terima kasih Kerajaan Negeri Melaka!
Masa Membaca:1 Minit, 37 Saat
SERI NEGERI 1 Disember – Bantuan khas kewangan setengah bulan gaji atau minimum RM2,000 diumumkan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh pada pembentangan Bajet 2024 Negeri Melaka, dianggap sebagai pemberian terbesar pernah diterima penjawat awam Melaka.
Berkongsi kegembiraan, Marzuki Daud, 44, daripada Bahagian Komunikasi Jabatan Ketua Menteri Melaka berkata sepanjang 17 tahun berkhidmat sebagai kakitangan awam, bantuan khas yang diumumkan Ketua Menteri itu antara yang paling lumayan.
Katanya, ‘bonus’ berkenaan dianggap sebagai tanda penghargaan Kerajaan Negeri kepada kakitangan awam yang sekian lama menjadi tulang belakang dan jentera dalam melicinkan segala urusan berkaitan rakyat serta pembangunan Melaka.
“Alhamdulillah, syukur sangat apabila menerima khabar gembira, sedikit sebanyak pada saya pemberian bantuan khas kewangan ini meringankan beban penjawat awam.
“Dimaklumkan insentif itu akan dibayar pada Februari dan Mac tahun hadapan. Alhamdulillah sekali lagi kerana dua bulan berkenaan adalah tarikh pembukaan penggal persekolahan dan permulaan Ramadan.
“Sedikit bantuan diterima akan dimanfaatkan untuk membantu keluarga dan menampung perbelanjaan,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Sementara itu Nurhidayah Zakaria,35, daripada Bahagian Koridor Infrastruktur dan Impak Sosial Jabatan Ketua Menteri Melaka berkata, secara tidak langsung bantuan diumumkan menyuntik semangat dalam dirinya untuk melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan dengan lebih berdedikasi.
“Tahun hadapan adalah Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024) jadi dengan bantuan sebagai penyuntik semangat ini saya akan bersama-sama membantu Kerajaan Negeri menjayakan kempen itu yang amat penting bagi semua.
“Sepanjang berkhidmat 13 tahun sebagai penjawat awam, ini merupakan insentif yang tertinggi pernah diterima,” katanya.
Manakala Rabbani Jamaludin, 36, daripada Pusat Sumber Jabatan Ketua Menteri Melaka berkata pemberian bantuan khas kewangan itu memberi nilai tambah kepada kakitangan Kerajaan Negeri.
“Pada saya, pemberian insentif ini bukan setakat meringankan bebanan penjawat awam yang mempunyai tanggungan anak dan sebagainya, sebaliknya meningkatkan motivasi kami untuk memberikan yang terbaik dalam perkhidmatan,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.
Views:
5012