Anugerah Graduan Terbaik hadiah istimewa ulang tahun bapa

Masa Membaca:1 Minit, 47 Saat

AYER KEROH 6 Disember – “Alhamdulillah, saya sangat bersyukur dalam kejayaan ini dan ini juga merupakan hadiah hari jadi ayah saya,” kata Aisyah Jannah Jamaludin, 24 selepas ditemui pemberita pada Istiadat Konvokesyen Universiti Melaka (UNIMEL) ke-24, hari ini.

Aisyah Jannah yang dinobatkan Anugerah Graduan Terbaik Keseluruhan Diploma Tahun 2021 meluahkan rasa syukurnya setelah dapat membuktikan kejayaan itu kepada keluarganya lebih-lebih lagi hari bersejarah itu juga adalah tarikh ulang tahun bapanya.

photo_2022-12-06_14-26-17
(Dari kiri) Penerima Anugerah Graduan Terbaik Keseluruhan Diploma 2021, Aisyah Jannah Jamaludin, 24 bersama penerima Anugerah Graduan Terbaik Keseluruhan Ijazah Sarjana Muda 2020, Intan Syaqina Jaafar, 27 dan penerima Anugerah Graduan Terbaik Keseluruhan Diploma 2022, Siti Aishah Mohamad Poad, 21 bergambar bersama sempena Istiadat Konvokesyen Unimel ke-24 di Dewan Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh. Foto Iqmal Haqim Rosman

Anak kepada pengawal keselamatan yang menetap di Duyong itu berkata kedua ibu bapanya menjadi kekuatan dan sering menjadi motivasi kepadanya untuk melakar kejayaan dengan lebih cemerlang pada masa akan datang.

“Semasa pengajian di rumah ketika pandemik COVID-19 memang besar cabarannya sebab tiada rakan mahupun ahli keluarga yang menuntut dalam latar belakang pengajian yang saya pelajari tapi emak ayah lah yang jadi penguat saya untuk elak dari jadi malas.

“Saya akan letakkan gambar mak dan ayah sebagai gambar latar telefon (wallpaper) sebagai motivasi saya dan apabila tengok gambar mereka, semua perkara jadi mustahil untuk malas dan tidak mahu belajar dan bersedih.

“Hari ini hari jadi ayah dan ini hadiah untuknya, puas sudah mereka (keluarga) sebak dan bersyukur dengan kejayaan ini,” katanya kepada pemberita.

Terdahulu, Aisyah yang dinobatkan menerima anugerah itu menerima replika cek bernilai RM1,000 berserta piala dan sijil disampaikan Canselor UNIMEL, Tun Seri Setia (Dr.) Mohd Ali Mohd Rustam pada sesi persidangan pertama diadakan di Dewan Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini hari ini.

Aisyah merupakan bekas pelajar Diploma Pengajian Islam dan Pembangunan Sumber Manusia menerima keputusan cemerlang dengan Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) 3.91 dan kini sedang melanjutkan pelajarannya menerusi pengajian atas talian dalam bidang Kitab Turath di sebuah akademi pengajian.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

3361
Kongsi :
Previous post Persidangan Smart Melaka 2022 fokus enam bidang utama – Ab Rauf
Next post Lima generasi alumni UNIMEL dilahirkan dalam tempoh 28 tahun
Ubah saiz-+=