Lima generasi alumni UNIMEL dilahirkan dalam tempoh 28 tahun

Masa Membaca:2 Minit, 19 Saat

AYER KEROH 6 Disember – Universiti Melaka (UNIMEL) telah berjaya membentuk lima generasi alumni sejak 28 tahun institusi pengajian tinggi (IPT) itu ditubuhkan.

Canselornya, Tun Seri Setia (Dr.) Mohd Ali Mohd Rustam berkata, usaha Kerajaan Negeri menaik taraf institusi itu sebagai universiti penuh bukanlah satu perkara mudah sehinggakan hari ini ia mampu menghasilkan seramai 18,448 alumni sepanjang tempoh itu.

“Tidak dinafikan usaha menaik taraf UNIMEL yang sebelum ini dikenali sebagai Kolej Universiti Islam Melaka (KUIM) tidaklah mudah dilaksanakan tanpa berkat usaha dan doa serta sokongan penuh kerajaan negeri sehingga hasrat ini dapat direalisasikan

“Sepanjang tempoh 28 tahun ini saya telah menyaksikan sendiri bagaimana UNIMEL menyelurusi detik-detik awal penubuhannya sebagai Kolej Islam Melaka (KIM) kemudian sebagai Kolej Teknologi Islam Melaka (KTIM) diikuti Kolej Teknologi Islam Antarabangsa Melaka (KTIAM), disusuli nama KUIM dan akhirnya berjaya dinaiktaraf sebagai UNIMEL.

“Dalam sistem kajian graduan menunjukkan rekod seramai 1,482 graduan telah bekerja, 274 sedang melanjutkan pengajian manakala 496 graduan sedang menunggu penempatan pekerjaan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada ucapan penutupannya menyempurnakan Istiadat Konvokesyen UNIMEL ke-24 diadakan di Dewan Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini hari ini.

photo_2022-12-06_11-07-23
Yang di Pertua negeri merangkap Canselor Pertama Universiti Melaka (Unimel), Tun Seri Setia (Dr) Mohd Ali Mohd Rustam hadir ke Istiadat Konvokesyen Unimel ke-24 di Dewan Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh.
Turut hadir Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wira Zaidi Johari, Naib Canselor Unimel, Prof. Dr. Abdul Razak Ibrahim. Foto Iqmal Haqim Rosman

Terdahulu, sesi sidang pertama majlis berkenaan dimulakan dengan Istiadat Permahsyuran Canselor UNIMEL sebagai pembuka tirai majlis dengan menyaksikan Tun Mohd Ali dilantik sebagai Canselor pertama selepas UNIMEL diiktiraf sebagai universiti penuh.

Dalam istiadat itu, majlis disempurnakan Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali dengan sesi penyerahan surat lantikan dan sijil watikah kepada Tun Mohd Ali.

Dalam pada itu, Tun Mohd Ali berkata penubuhan institusi itu telah banyak memberi impak besar kepada pembangunan sosial dan ekonomi negeri dan negara dengan pelbagai pencapaian diterima dalam kalangan warganya.

“UNIMEL telah merangkul beberapa kejayaan antaranya dalam aspek pencapaian stafnya sehingga kini seramai 19 orang staf memiliki kelayakan akademik peringkat Doktor Falsafah (PhD), 127 memiliki Ijazah Sarjana dan 80 yang lain kini sedang menyambung pengajian ke peringkat Sarjana dan PhD.

“Malah beberapa pencapaian dalam aspek penyelidikan juga telah diperoleh UNIMEL setelah menerima dua geran Penyelidikan Fundamental (FRGS) dari kementerian Pengajian Tinggi (KPT), dua geran industri di peringkat negeri dan 24 Geran Penyelidikan Insentif (GPI) pada peringkat universiti.

“Raikan dan kenangkanlah hari yang penuh kegembiraan ini sebagai detik bersejarah yang takkan dilupakan kerana sesungguhnya para graduan yang diraikan kali ini amat bertuah kerana merupakan generasi pertama yang akan bergelar alumni UNIMEL,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1984
Kongsi :
Previous post Anugerah Graduan Terbaik hadiah istimewa ulang tahun bapa
Next post Ketua Penolong Pengarah maut kereta rempuh pokok
Ubah saiz-+=