Anugerah keseluruhan terbaik jadi kenangan seumur hidup
SUNGAI RAMBAI 19 Mac – “Meskipun masih terkejut namun saya bersyukur dengan anugerah diterima ini dan akan menjadi kenangan terindah seumur hidup,” itu kata Jolmon Akmon.
Jolmon, 31, dianugerahkan pelatih terbaik keseluruhan pada Majlis Penutupan Latihan Kemahiran Pasukan Khas Pertahanan Awam (PASPA) 2023 hari ini.
Menurutnya, latihan selama sebulan itu amat menguji ketahanan mental serta fizikal dan meletakkan sepenuh perhatian bagi membolehkan dirinya menamatkan latihan sekaligus menyarung beret biru.
“Langsung tidak pernah terfikir saya akan terpilih menjadi yang terbaik kerana peserta lain juga tidak kurang hebatnya malah masing-masing mempunyai kekuatan serta kelebihan tersendiri.
“Tidak dinafikan ujian dan cabaran di luar jangkaan selain amat sukar yang mana bila-bila masa sahaja seseorang itu boleh menyerah,” katanya.
Dia ditemui selepas Majlis Penutupan Latihan Kemahiran Pasukan Khas Pertahanan Awam (PASPA) 2023 yang disempurnakan Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Wilson Ugak Anak Kumbong, di Kuala Sebatu, di sini, hari ini.
Hadir sama Ketua Pesuruhjaya APM Aminurrahim Mohamed, Pengarah APM Melaka Leftenan Kolonel (PA) Kamarulsyah Muslim dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Rambai Siti Faizah Abdul Azis.
Menurut anak kelahiran Telupid, Sabah itu, antara cabaran yang paling mencabar untuk disempurnakan adalah selaman skuba kerana ia adalah fasa penentuan.
“Latihan menyelam agak sukar kerana ia tidak sama dengan cabaran di darat yang mana apabila terjatuh misalnya, kita masih boleh bernafas.
“Tetapi di air jika kita tersalah langkah dan gagal sebaliknya akan berlaku serta tidak akan membantu,” katanya yang mula menyertai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) sejak 2013.
Terdahulu, pada majlis itu seramai 38 peserta kursus berjaya menamatkan latihan sebelum semuanya menerima beret biru PASPA yang dipakaikan Wilson.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.