APM pamer kecekapan selamatkan pesakit COVID-19 lemas

Masa Membaca:1 Minit, 43 Saat

PANTAI KUNDOR 29 Sep – Pengunjung Pantai Puteri, di sini hari ini terpegun menyaksikan kecekapan pegawai dan anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Melaka menyelamatkan dua pesakit COVID-19 yang hanyut di laut akibat ribut Monsun Timur Laut (MTL).

Ketika bergembira bersama anggota keluarga, mereka dikejutkan dengan jeritan dua mangsa yang hampir lemas kira-kira 50 meter dari gigi pantai selepas rumah mereka di tepi pantai roboh akibat dipukul ribut.

Bagaimanapun, mereka menarik nafas lega apabila menyaksikan dua penyelamat APM yang menggunakan pelampung penyelamat berenang ke arah kedua-dua mangsa terbabit sebelum menarik mereka ke pantai.

Pegawai APM disanitasi selepas menyelamatkan mangsa hanyut di laut akibat ribut MTL di Pantai Puteri.

Hanya dalam tempoh kira-kira lima minit, penyelamat berjaya menarik mangsa ke pantai sebelum empat pegawai APM yang lengkap memakai peralatan pelindung diri (PPE) membawa mereka ke ambulans dalam simulasi menyelamat pagi tadi.

Seorang mangsa terpaksa diusung ke tempat lebih selamat manakala seorang lagi mampu berjalan sambil dipapah oleh penyelamat.

Sejurus mangsa dibawa ambulans, penyelamat terbabit dan mereka yang memakai PPE disanitasi bagi mengelak dijangkiti virus COVID-19.

Pegawai APM Melaka Tengah, Kapten (PA) Awang Bohari Awang Ahet berkata, turut digunakan dalam simulasi menyelamat itu adalah bot ‘sealegs’, bot aluminium dan jet ski.

“Sebelum ini latihan rutin kami hanya fokus kepada usaha menyelamatkan mangsa banjir atau lemas di dalam air tetapi kali ini kami memberi fokus kepada pesakit COVID-19.

“PPE digunakan sebagai pelindung pegawai dan anggota daripada dijangkiti virus berbahaya itu,” katanya.

PEGAWAI dan anggota APM mencuba mengeluartkan bot ‘sealegs’ yang terbenam di Pantai Puteri.

Terdahulu, pegawai dan petugas terbabit bertungkus-lumus mencuba mengeluarkan bot ‘sealegs’ yang terbenam di pantai.

Usaha berkenaan terpaksa dibantu ‘winch’ pada lori APM tetapi ia tergendala akibat kabel yang disambung pada rantai yang diikat pada bot berkenaan terputus.

Hanya selepas kira-kira sejam pegawai dan anggota APM mengorek lubang dan meletakkan papan pada roda bot, barulah bot berkenaan berjaya ditarik naik.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

651
Kongsi :
Previous post MTL: APM tingkatkan kesiapsiagaan selamatkan mangsa lemas positif COVID-19
Next post ‘Ya Allah, dugaan ini menyakitkan’
Ubah saiz-+=