APMM cekup 37 PATI cuba menyusup masuk ke negara ini

Masa Membaca:1 Minit, 18 Saat

KUALA LINGGI,  3 Julai – Cubaan 37 pendatang tanpa izin (PATI) warga Bangladesh menyusup masuk ke negara ini gagal selepas bot dinaiki ditahan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) di perairan Kuala Sepang, Selangor awal pagi semalam.

Pengarah Maritim Negeri Melaka dan Negeri Sembilan, Kepten Maritim Iskandar Ishak berkata, semua PATI berusia 18 hingga 46 tahun ditahan apabila Sistem Pengawasan Laut (SWASLA) Maritim Malaysia mengesan sebuah bot pacung dalam keadaan mencurigakan memasuki perairan negara sekitar jam 11 malam kelmarin.

Berikutan itu katanya, bot peronda APMM yang sedang melaksanakan Ops Benteng Laut bergegas ke lokasi sebelum menahan sebuah bot pancung berwarna kelabu tanpa nombor pendaftaran dikedudukan kira-kira 1.2 batu nautika barat daya Kuala Sepang, Selangor pada jam 1 pagi semalam.

ANTARA PATI ditahan dalam bot pancung di perairan Kuala Sepang. Foto APMM

“Pemeriksaan mendapati bot berkenaan menggunakan dua enjin sangkut jenis Yamaha 200 kuasa kuda dan seramai 41 orang lelaki termasuk empat lelaki warga Indonesia dipercayai tekong dan awak-awak berada dalam bot berkenaan.

“Semua lelaki terbabit gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah ketika diperiksa,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Mengulas lanjut, beliau berkata susulan itu bot yang membawa semua PATI, tekong dan awak-awak diiring sebelum dibawa ke Jeti Maritim Negeri Melaka dan Negeri Sembilan untuk tindakan lanjut.

“Kes disiasat di bawah Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 dan Akta Imigresen 1959/63 kerana melakukan aktiviti penyeludupan migran dan memasuki Malaysia melalui pintu yang tidak diwartakan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1379
Kongsi :
Previous post Gempa bumi sederhana landa Laut Maluku Utara
Next post Pertandingan nazam tawar hadiah wang tunai lumayan
Ubah saiz-+=