Pertandingan nazam tawar hadiah wang tunai lumayan

Masa Membaca:1 Minit, 34 Saat

DUYONG 3 Julai – Institut Warisan Melaka (INSWA) akan menganjurkan pertandingan Nazam yang menawarkan hadiah wang tunai lumayan pada 31 Julai ini.

Pertandingan itu terbahagi kepada tiga kategori iaitu sekolah rendah, sekolah menengah dan terbuka dan juara kategori masing-masing menerima RM2,500, RM3,500 ( sek menengah) manakala RM5,000 untuk kategori terbuka.

Hadiah wang tunai antara RM800 hingga RM1,000 turut disediakan kepada pemenang tempat keempat dan kelima setiap kategori selain hadiah wang tunai RM1,000 kepada pemenang kategori vokal terbaik, persembahan terbaik, persembahan kreatif terbaik serta lirik terbaik.

Acara saringan pertandingan akan dibuat di perkarangan Muzium Rakyat Bandar Hilir pada 30 Julai sebelum pertandingan diadakan keesokan harinya di Dataran Pusat Islam dekat Bukit Palah.

Sementara itu, EXCO Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan negeri, Datuk Muhammad Jailani Khamis berkata, tawaran hadiah wang tunai lumayan disediakan pada pertandingan itu bersesuaian dengan ketinggian nilai seni nazam dalam masyarakat Melayu.

“Seni budaya nazam ini melambangkan maruah kita maka jangan kita merendah-rendahkan atau pandang enteng warisan seni kita.

“Kita tidak mahu pertandingan seni seperti Nazam ini menawarkan hadiah yang tidak seberapa padahal ia melambangkan warisan seni orang Melayu,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menutup Bengkel Pemerkasaan Nazam di Balai Adat Perkampungan Hang Tuah dekat sini.

Bengkel selama empat hari bermula 28 Jun itu disertai seramai 423 peserta terdiri daripada murid sekolah rendah, menengah, pelajar IPT, kakitangan awam dan orang awam.

Menurut Muhammad Jailani, pihaknya bercadang untuk menjadikan pertandingan nazam itu sebagai acara tahunan dan mempelbagaikan hadiah misalnya motosikal atau tawaran pakej umrah.

Selain itu kata beliau, lokasi Balai Adat Perkampungan Hang Tuah akan kekal dijadikan lokasi penganjuran bengkel nazam seperti diadakan lima tahun sebelum ini.

Ia katanya, bersesuaian dengan kedudukannya sebagai tempat tarikan pelancong ke negeri ini apatah lagi penganjuran bengkel nazam turut disertai peserta dari luar Melaka antaranya Kelantan, Kuala Lumpur, Sabah dan Sarawak.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1590
Kongsi :
Previous post APMM cekup 37 PATI cuba menyusup masuk ke negara ini
Next post PKS main peranan besar realisasi IR 4.0 di Melaka- Ab Rauf
Ubah saiz-+=