Arca mata kail bakal jadi mercu tanda Pantai Kundor

Masa Membaca:3 Minit, 18 Saat

PANTAI KUNDOR 20 Januari – Arca mata kail dicadang sebagai sebagai mercu tanda baharu Dewan Undangan Negeri (DUN) Pantai Kundor.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pantai Kundor Tuminah Kadi @Mohd Hasim berkata, cadangan itu diusulkan sebagai antara tarikan baharu menggamit pelancong ke kawasan itu yang terkenal sebagai pantai peranginan.

‘PORT’ KAKI PANCING

Menurut beliau, arca mata kail dipilih kerana ia dilihat bersesuaian dengan Pantai Puteri yang cukup sinonim sebagai lokasi memancing.

“Seperti kita tahu, Pantai Puteri sering menjadi lokasi pilihan kaki pancing dan kita merasakan arca mata kail cukup sesuai dengan kawasan ini.

“Kita akan buat permohonan kepada Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) dan jika direalisasikan, ia akan menjadi satu lagi tarikan baharu di kawasan ini,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

6
KAK Ina menunjukkan bakat memancing ikan darat.

Katanya, dalam menjaga imej Pantai Puteri sebagai lokasi pelancongan, pihaknya turut bercadang untuk mewujudkan tapak perniagaan yang lebih sistematik di kawasan itu.

“Ia penting kerana aspek keceriaan dan kebersihan di tapak perniagaan perlu dititik beratkan dalam menarik lebih ramai pelancong.

“Sebelum ini, kita lihat ada dalam kalangan peniaga suka meninggalkan peralatan perniagaan mereka di bahu jalan. Ia bukan sahaja mencacatkan pemandangan, bahkan memberi imej tidak baik di kawasan ini.

“Jadi, saya minta agar Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dapat mewujudkan tapak perniagaan yang lebih sistematik dan mesra pelancong,” katanya.

CAKNA KEBAJIKAN NELAYAN

Selain memberi tumpuan kepada pelancongan, kebajikan nelayan di DUN Pantai Kundor juga antara yang diberi tumpuan oleh Tuminah yang mesra disapa Kak Ina.

Beliau berkata, ia berikutan aktiviti perikanan menjadi antara penyumbang ekonomi utama kepada masyarakat setempat di kawasan itu.

Menurutnya, antara yang diberi perhatian ialah aspek baik pulih balai dan pangkalan nelayan Pantai Kundor bagi memberi keselesaan kepada nelayan di kawasan itu.

“Di Pantai Kundor, kita ada enam balai nelayan dan daripada jumlah itu, dua daripadanya telah kita baik pulih, termasuklah pangkalan nelayan Pantai Jaring yang telah saya perjuangkan sebelum ini.

“Jadi, kita harap baki empat lagi balai nelayan turut diberi perhatian oleh Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) iaitu membabitkan Balai Nelayan Balik Bukit, Balai Nelayan Pengkalan Perigi, Balai Nelayan Kampung Hailam dan Balai Nelayan Sungai Lereh.

“Kita sudah bawa perkara ini kepada LKIM sejak tahun lalu dan diharap kerja-kerja itu dapat dipercepatkan,” katanya.

2
KAK Ina melihat kerja-kerja baik pulih ‘walkway’ di Pentas Budaya Pantai Puteri.

PENGELUAR MAKANAN UTAMA MELAKA

Dalam pada itu, Kak Ina memaklumkan, Pantai Kundor juga terkenal sebagai pembekal makanan utama negeri Melaka.

Katanya, ia berikutan, selain hasil laut, DUN itu juga mempunyai lebih 202 hektar tanah bagi sektor pertanian, perladangan dan penternakan.

Justeru, katanya, kemudahan bagi kira-kira 300 petani dan peladang perlu diberi perhatian sewajarnya dalam memastikan pengeluaran makanan di negeri ini tidak terjejas.

“Antara yang akan kita usahakan ialah menambah baik sistem saliran untuk aktiviti pertanian dan perladangan.

“Kita juga sedang mengusahakan kemudahan rumah pam bagi menampung kemudahan air bagi aktiviti di sawah padi dan kawasan pertanian di sini,” katanya.

Menurut Kak Ina, antara produk pertanian yang terkenal di Pantai Kundor ialah mangga delite di Kampung Gelam, selain sawah padi dan kawasan ternakan haiwan ruminan.

7
TUMINAH

BIODATA:-

Nama: Tuminah Kadi @ Mohd Hashim
Umur: 54

Karier:
– Ahli Dewan Undangan Negeri Pantai Kundor (2021-kini)
– Ahli Lembaga Pengarah Kumpulan Melaka Berhad (KMB)
– Ahli Lembaga Pengarah Perbadanan Kemajuan Negeri Melaka (PKNM)
– Pengerusi Ahli Lembaga Pengarah MAIM Industries Sdn. Bhd. (MISB)
– Pegawai Perhubungan Awam Majlis Bandaraya Melaka

Politik:-
– Ketua Penerangan Wanita UMNO Bahagian Tangga Batu (2018-kini)
– AJK Wanita Negeri Melaka
– Ketua Wanita Cawangan Tanah Merah Jaya

Pendidikan:-
– TBE Examination IBFM Open Universiti Malaysia (2011)
– Consultant Hong Leong MISG Takaful

INFO DUN PANTAI KUNDOR:

Jumlah penduduk : 35,213

Kampung : 25
Taman Perumahan : 13

Rumah Ibadat:-
Masjid: 9
Surau: 26
Tokong: 7
Gereja: 1

Institusi Pendidikan:-
Sekolah Kebangsaan: 4
Sekolah Menengah: 2
Sek Jenis Kebangsaan Cina: 3
Tadika : 14
Pusat Tahfiz : 1

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1911
Kongsi :
Previous post ‘Brisk Walk’ 8.8km bersama Tun Mohd Ali
Next post Lebih 5,000 dijangka meriahkan Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina Melaka
Ubah saiz-+=