
ASAM PEDAS TETEL PENGGANTI BUBUR LAMBUK
KLEBANG 12 Mac – Penduduk Kampung Balik Buloh, Klebang Besar memecahkan tradisi, apabila menjadikan asam pedas sebagai pengganti bubur lambuk yang sering dijadikan juadah wajib untuk agihan percuma setiap kali bulan Ramadan.
Lauk ikonik Negeri Melaka iaitu asam pedas daging dan tetel disediakan penduduk secara bergotong-royong pada Ahad setiap minggu sebelum diagihkan kepada orang ramai.
Pengerusi Surau Ad Dinniah, Mohamad Adha Ali berkata inisiatif itu bertujuan mengeratkan hubungan antara penduduk selain menyediakan lauk berbuka khusus untuk golongan dalam keuzuran dan warga emas.
“Golongan seperti warga emas dan individu menghidap masalah kesihatan serius mungkin tidak berdaya untuk memasak, jadi kami sediakan lauk dan hantar ke rumah mereka.
“Ahad lalu kami mengagihkan lebih 350 bekas asam pedas tetel dan daging. Mengikut perancangan pada Ahad depan (16 Mac) kami akan teruskan aktiviti ini.
“Tetapi mungkin lauknya berbeza, contoh asam pedas ikan, semuanya bergantung kepada hasil perbincangan bersama,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Mengulas lanjut, Mohamad Adha berkata, inisiatif tersebut sedikit sebanyak dilihat mampu meringankan beban penduduk sekitar yang kurang berkemampuan dan dalam keadaan uzur.
“Idea melaksanakan program mingguan ini tercetus selepas kami mendapati banyak program sumbangan untuk berbuka menu dipilih adalah sama iaitu bubur lambuk, sedangkan agihan lauk berbuka mungkin lebih sesuai bagi sesetengah penerima.
“Pada program sebelum ini kami mengguna 50 kilogram daging, alhamdulillah dengan bantuan 30 sukarelawan proses memasak lauk menjadi lebih lancar dan mula diagihkan selepas Zohor,” katanya.
Program berkenaan turut mendapat sokongan penuh daripada anak muda kampung dikenali ‘Pemuda Fisabilillah’ yang menyumbang dana bagi menampung kos RM10,000 sepanjang Ramadan ini.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.