Asrama pekerja asing jijik

Masa Membaca:1 Minit, 35 Saat

MASJID TANAH 17 Jun – Diberi peluang mencari rezeki di Malaysia tetapi tidak mahu menjaga kebersihan persekitaran asrama, sebaliknya mereka membawa perangai buruk dari negara asal ke negeri ini hingga menyebabkan asrama mereka kotor, busuk dan jijik.

Itulah yang berlaku pada pekerja asing yang menghuni blok asrama di Kawasan Perindustrian Masjid Tanah di Pengkalan Balak, di sini, yang bukan setakat pengotor, malah tidak kisah hidup dalam persekitaran busuk dan meloyakan.

Sampah-sarap yang dikumpulkan di asrama yang menempatkan kira-kira 1,000 pekerja warga asing itu tidak dibuang ke dalam tong sampah besar disediakan Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG), sebaliknya dibiarkan membusuk di tepi longkang berhampiran blok penginapan mereka.

Keadaan itu menyebabkan kawasan sepanjang kira-kira 50 meter di parit berhampiran asrama berkenaan berbau busuk dan dihurungi lalat, sekali gus meloyakan tekak sesiapa sahaja yang melalui kawasan berkenaan.

Sehubungan itu, MPAG mengeluarkan notis amaran mengarahkan majikan pekerja terbabit supaya mengambil tindakan segera membersihkan longgokan sampah itu.

Yang Dipertuanya, Mohd Fadhil Hassan berkata, kegagalan berbuat demikian akan menyebabkan majikan terbabit dikenakan tindakan mengikut Seksyen 80 Akta Kerajaan Tempatan 1976 kerana kesalahan kacau ganggu yang memperuntukkan hukuman denda antara RM2,000 hingga RM250,000.

Selain itu, katanya, tindakan juga boleh diambil mengikut Seksyen 76 akta yang sama kerana kesalahan melonggokkan sampah tanpa kebenaran.

“Keadaan di sini amat kotor kerana sampah sarap dilonggokkan begitu sahaja dan ia menjejaskan kesihatan penghuni sekitar kawasan ini,” katanya ketika mengadakan pemeriksaan mengejut di asrama berkenaan semalam.

Yang turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Bidara, Datuk Md Rawi Mahmud dan Pengarah Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Melaka, Khairuladha Abdul Mutalib.

Sementara itu Md Rawi berkata, majikan harus memastikan pekerja masing-masing sentiasa berdisiplin dalam memelihara kebersihan, sama ada di tempat kerja atau asrama.

“Majikan harus menggaji pekerja pembersihan di asrama itu, kerana jika kita mahu pekerja asing membuang sampah di tempat pengumpulan sampah, ia seolah-olah mustahil kerana mereka tidak berdisplin,” katanya.

Views:

1259
Kongsi :
Previous post MySejahtera: ‘Mudah, ringkas dan efektif’
Next post PKP beri ilham pelajar KPMBM jana pendapatan
Ubah saiz-+=