Atlet angkat berat luar negara pilih Melaka lokasi latihan
JASIN 11 Februari – Melaka sekali lagi bakal menjadi lokasi bagi atlet-atlet luar negara menjalani latihan angkat berat pada 6 Mac ini.
Naib Presiden Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM) Ahmad Janius Abdullah berkata ia melibatkan kira-kira enam atlet dari Singapura yang menjalani latihan selama sebulan di negeri ini.
Menurutnya, pihaknya bagaimanapun telah menerima surat dari negara itu yang akan berlatih sukan angkat berat bagi persiapan ke SEA Game di Korea pada bulan Mei.
“Yang telah hantar surat kepada saya adalah dari Singapura untuk persiapan mereka ke SEA Game di Korea pada bulan Mei, mereka dijangka hadir pada 6 Mac.
“Satu lagi mereka datang sini untuk elak daripada kesibukan di bandar dan rata-rata mengatakan mereka tenang dan boleh fokus 100 peratus apabila berlatih di sini.
“Walaupun kita punya peralatan tak canggih tapi semangat dan keinginan mereka (atlet) untuk berjaya tanpa teknologi canggih menarik mereka datang ke Jasin,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Program Mengenalpasti Bakat Sukan (TID) Bagi Sukan Angkat Berat Tahun 2023 di Sekolah Kebangsaan (SK) Kesang Tua di sini, hari ini.
Dalam pada itu, beliau berkata sehingga kini seramai 30 bakat baharu sedang belatih di pusat latihan angkat berat Kesang Tua dan Nyalas.
“Pada bulan Mei kita ada kejohanan peringkat Persekutuan, itu sasaran utama untuk mereka belatih dan diharap mereka dapat tunjukkan prestasi yang baik.
“Setakat ini kita ada seramai 30 bakat baharu yang sedang berlatih angkat berat, paling muda usia lapan tahun dan paling tua tingkatan empat.
“Program ini juga sesi pencarian bakat untuk daerah Jasin, kita yakin boleh melahirkan atlet berkelayakan sehingga ke peringkat negeri dan antarabangsa,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.