Atlet karate ‘berkampung’ di Melaka

Masa Membaca:2 Minit, 36 Saat

AYER KEROH 7 Januari – Seramai 220 orang atlet, jurulatih dan pegawai dari seluruh negara ‘berkampung’ di Melaka bagi menyertai Kejohanan Karate Senior Kebangsaan Terbuka Persekutuan Karate Malaysia (MAKAF) 2023 bermula hari ini.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali berkata, penganjuran kali ke-41 yang diadakan di Mini Stadium Bistari Ayer Keroh itu merupakan satu penghormatan buat Melaka sebagai tuan rumah pertama acara sukan tahun 2023.

Beliau berkata, kejohanan selama dua hari itu turut membabitkan penyertaan dari negara Singapura itu mampu melahirkan lebih ramai pelapis baharu di masa akan datang.

“Kejohanan ini merupakan platform buat atlet skuad karate negara untuk mempamerkan persembahan terbaik dan seterusnya melayakkan diri mewakili negara ke Temasya Sukan Sea Edisi ke-32 di Phnom Penh, Kemboja yang dijadual pada 5 hingga 17 Mei tahun ini.

“Saya percaya dan menjangkakan kejohanan kali ini lebih rancak susulan pemilihan atlet akan dimuktamadkan dalam masa terdekat.

“Kepada pasukan–pasukan yang mengambil bahagian, bertandinglah dengan bersungguh–sungguh dan memberi saingan yang hebat dengan semangat kesukanan yang tinggi,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmiannya pada Kejohanan Karate Senior Kebangsaan Terbuka Persekutuan Karate Malaysia (MAKAF) 2023 diadakan di Dewan Bestari Ayer Keroh, di sini hari ini.

Terdahulu, lafaz dan gimik perasmian kejohanan itu telah disempurnakan Yang di-Pertua Negeri, Tun Seri Setia Mohd Ali Mohd Rustam.

IMG_20230107_190858_468
AYER KEROH 7 Januari – Aksi peserta pada Perasmian Kejohanan Karate Senior Kebangsaan Kali Ke-41 di Mini Stadium Bistari Ayer Keroh. Foto Iqmal Haqim Rosman

Dalam pada itu, Sulaiman dalam ucapannya berkata Kerajaan Negeri sentiasa menyokong dan mendukung program-program sukan seiring dengan Flagship kelapan iaitu Melaka Sejahtera dalam memperkasa belia dan sukan.

Katanya, sebagai sebuah negeri pelancongan beliau yakin sukan seperti itu mampu menarik minat pelancong untuk datang ke negeri ini.

“Besar harapan saya untuk melihat satu hari nanti akan ada di antara atlet yang bertanding pada hari ini dapat mewakili negara sebagaimana yang telah ditunjukkan oleh atlet senior yang telah mengharumkan nama Negeri Melaka dan juga Malaysia.

“Saya menyeru agar atlet–atlet pelapis ini mengembalikan martabat sukan karate negara kita.

“Jadikan kejohanan ini sebagai batu loncatan serta tanamkan azam dan semangat untuk berjaya sehingga mampu bersaing di peringkat antarabangsa,” katanya.

IMG_20230107_190811_365
AYER KEROH 7 Januari – Yang di-Pertua negeri, Tun Seri Setia Mohd Ali Mohd Rustam menyampaikan hadiah kepada Johan kategori KATA Individu Lelaki, Yong Kojiro pada Perasmian Kejohanan Karate Senior Kebangsaan Kali Ke-41 di Mini Stadium Bistari Ayer Keroh. Turut bersama Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali. Foto Iqmal Haqim Rosman

Pada masa sama, Sulaiman turut menzahirkan ucapan tahniah kepada Tun Mohd Ali yang dilantik sebagai Ahli Jawatankuasa Eksekutif World Karate Federation (WKF) pada 28 Oktober 2022 lalu di Konya, Turkiye.

Katanya, pelantikan berkuat kuasa penggal 2022 hingga 2026 itu sekali gus menyerlahkan lagi kepimpinan Tun Mohd Ali sebagai Presiden MAKAF di peringkat tertinggi.

“Ini memberi satu gambaran bahawa kepimpinan melalui sukan oleh Tun Mohd Ali diiktiraf oleh badan antarabangsa sekali gus memartabatkan pengurusan kepimpinan sukan di peringkat negara dan negeri,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

5498
Kongsi :
Previous post Bomba Melaka bantu bersih kubur
Next post Piala AFF: Menang 1-0 tidak cukup : Pan Gon
Ubah saiz-+=