Ayuh! beri semangat atlet Sukan Olimpik Tokyo

Masa Membaca:1 Minit, 41 Saat

MELAKA 23 April. – Rakyat Melaka digesa memberi sokongan dan semangat kepada barisan atlet negara yang bakal bertanding pada temasya Sukan Olimpik 2020 yang dijadual berlangsung Julai ini.

Pengerusi Jawatankuasa NGO, Pembangunan Belia dan Sukan negeri Datuk Mohd. Rafiq Naizamohideen berkata, sokongan masyarakat pelbagai peringkat amat diperlukan oleh wira dan wirawati negara bagi meraih kemenangan cemerlang di Tokyo, Jepun nanti.

Menurutnya, bagi tujuan itu juga, Melaka akan menganjurkan program ‘Flag Off Jelajah Sokongan Kontinjen Road To Tokyo 2020’sebagai susulan pelancaran program itu yang diadakan di Bukit Jalil pada 14 April lalu.

“Program itu bertujuan untuk mendapatkan sokongan masyarakat dan membangkitkan semangat atlet yang akan berjuang di Temasya Sukan Olimpik dan Paralimpik Tokyo 2020.

“Jelajah Sokongan Kontinjen Road To Tokyo 2020 di negeri-negeri bermula 25 April hingga 6 Julai ini.

“Serentak itu, Melaka akan mengadakan program mengenainya pada 27 April ini dan akan disempurnakan perasmiannya oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali bertempat di Kompleks Seri Negeri,” katanya.

Seramai 12 atlet melibatkan lima disiplin sukan layak secara merit ke Tokyo 2020, iaitu Pandelela Rinong, Leong Mun Yee, Ng Yan Yee, Nur Dhabitah Sabri (akuatik-terjun); Khairul Anuar Mohamad (memanah); Khairul Nizam Mohd, Afendy, Nur Shazrin Muhammad Latif, Nuraisyah Jamil, Juni Karimah Noor Jamali (pelayaran); Farah Ann Abdul Hadi (gimnastik-artistik); Mohd. Azizul Hasni Awang dan Mohd. Shah Firdaus Sahrom bagi acara berbasikal.

14 Atlet Para Negara turut mengesahkan slot penyertaan mereka pada temasya sukan itu iaitu Muhd. Nursaiful Zulfikri dan Brenda Anelia (akuatik renang); Suresh Seltamby dan Wiro Julin (memanah); Muhammad Ziyad Zolkefli, Wong Kar Gee, Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi, Abdul Latif Romli (olahraga); Chew Wei Lun (boccia); Bonnie Bunyau Gustin (powerlifting); Chieh Lek Hou (badminton); Mohd. Yusof Hafizi Saharudin, Zuhairie Ahmad Tarmizi dan Nur Azlia Syafinaz untuk acara basikal.

Datuk Wira Lee Chong Wei telah diberi penghormatan selaku Chef De Mission (CDM) Kontinjen Malaysia ke Tokyo 2020 manakala Presiden Majlis Paralimpik Malaysia (MPM), Datuk Seri Megat D. Shahriman Zaharudin sebagai CDM ke temasya Sukan Paralimpik Tokyo 2020.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

370
Kongsi :
Previous post Dua kediaman musnah terbakar
Next post VALUES2021 terap nilai sivik belia
Ubah saiz-+=