Bajet 2023 Negeri Melaka fokus ekonomi, agenda rakyat – KM

Masa Membaca:54 Saat

KUALA LINGGI 1 Disember – Bajet 2023 Negeri Melaka akan memberi tumpuan kepada aspek ekonomi dan agenda rakyat, kata Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali.

Menurut Sulaiman, antara yang diberi penekanan ialah penumpuan terhadap peningkatan ekonomi negeri bagi menghadapi 2023 yang diramal mencabar.

Selain itu katanya, turut difokuskan ialah peluang pekerjaan dan perniagaan kepada rakyat Negeri Melaka.

“Pada masa sama, bajet itu juga akan menyentuh aspek kesejahteraan dan kebajikan rakyat negeri ini.

“Insya-Allah, Bajet 2023 Negeri Melaka akan dibentangkan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN), 12 Disember ini,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Majlis Pelancaran Logo, Lagu Rasmi dan Penyerahan Peranti Siswa Universiti Melaka di UNIMEL Kuala Sungai Baru, di sini, hari ini.

Sulaiman berharap agar Persidangan Ketiga Penggal Kedua DUN Melaka itu berlangsung dengan lancar dan memberi peluang kepada semua Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) berbahas.

Menurutnya, seperti kebiasaan, semua Adun baik daripada blok kerajaan mahupun pembangkang dianggap sebagai rakan strategik, selari dengan Kerajaan Perpaduan yang tertubuh selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) bulan lalu.

 

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2366
Kongsi :
Previous post Bekas MB Perlis meninggal dunia
Next post Wanita warga emas maut pacuan empat roda jatuh sungai di Marang
Ubah saiz-+=