Bajet 2023: Penjara Dusun Dato’ Murad jadi pusat penternakan lebah kelulut

Masa Membaca:1 Minit, 3 Saat

KUALA LUMPUR 7 Oktober – Penternakan lebah kelulut di Penjara Prabebas Dusun Dato’ Murad akan diperluaskan dibawah inisiatif Agropenjara mulai tahun hadapan.

Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, kerajaan akan memperuntukkan sebanyak RM10 juta bagi memperluas aktiviti pertanian dan perladangan melibatkan 70 hektar tanah penjara.

“Golongan banduan turut punyai peluang bekerja dalam pelbagai bidang yang dikendali Jabatan Penjara.

“Peruntukan ini antaranya untuk meluaskan penternakan lebah kelulut di Penjara Prabebas Dusun Dato’ Murad Melaka dan meningkatkan bekalan ikan air tawar segar di Pusat Koreksional Kamunting Perak,” katanya dalam Pembentangan Bajet 2023 di Dewan Parlimen, hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata, golongan banduan di negara ini turut tidak terlepas menerima manfaat dari belanjawan yang dibentangkan itu.

Ujarnya, mulai tahun hadapan, potongan cukai tambahan diberikan kepada majikan yang menggaji bekas banduan, termasuk bekas penghuni Sekolah Henry Gurney, institusi perlindungan dan pemulihan Kerajaan serta pusat jagaan bukan Kerajaan yang berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“Berhubung kebajikan anak-anak di bawah jagaan institusi JKM, Kerajaan akan menubuhkan Pusat Transit – Anjung Sinar sebagai pusat sementara untuk mereka berteduh sebelum mendapat pekerjaan dan memulakan hidup baharu.

“Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC )juga akan membantu mereka dengan peluang pekerjaan bersesuaian,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2378
Kongsi :
Previous post Taman tema RM300 juta bakal dibangunkan di Muzium Kapal Selam – Perzim
Next post Bajet 2023: Sektor pelancongan turut terima tempias
Ubah saiz-+=