Bandaraya Melaka kembali rancak, meriah
BANDA HILIR 3 Mei – Bandaraya Melaka kembali sesak apabila menjadi pilihan pelawat domestik dan asing yang mengambil kesempatan untuk menghabiskan masa di negeri ini sempena cuti musim perayaan.
Tinjauan Melaka Hari Ini (MHI) di beberapa lokasi tumpuan antaranya Bangunan Stadthyus, Kota A Famosa dan kaunter tiket Melaka River Cruise dipenuhi pengunjung.
Meskipun masih dalam ‘mood’ Aidilfitri tinjauan mendapati orang ramai masih memilih untuk mengekalkan pemakaian pelitup muka walaupun kerajaan sudah memberi kelonggaran untuk tidak berbuat demikian di tempat awam bermula 1 Mei.
Bagi pesara kerajaan Rashid Rahmad, 66, berkata, dia memilih bercuti di Melaka untuk mengimbau semula kenangan lama selepas lebih 20 tahun tidak melawat negeri bersejarah ini.
“Melaka antara negeri yang menjadi destinasi yang saya rancang untuk singgah, banyak lokasi menarik dan tempat bersejarah sesuai jika mahu habiskan masa bersama keluarga.
“Lebih 20 tahun saya tidak datang ke Melaka jadi hari ini selepas beraya di Port Dickson, Negeri Sembilan saya terus memandu ke sini. Agak terpegun kerana sudah banyak pembaharuan berlaku,” katanya yang menetap di Kajang, Selangor.
Sementara itu bagi seorang lagi pelancong, M Calvin, 33, dari Kuala Lumpur, berkata, Melaka antara lokasi pilihannya bersama keluarga setiap kali bercuti kerana pelbagai aktiviti dapat dilakukan.
“Boleh katakan hampir setiap bulan kami akan datang bercuti ke Melaka, memang tidak pernah jemu.
“Selain banyak tempat bersejarah kami boleh menaiki bot malah membeli-belah selepas itu banyak pilihan makan yang sedap,” katanya.
Dia yang masih memilih untuk memakai pelitup muka berkata, meskipun kelonggaran diberikan kerajaan namun dia amat mementingkan soal keselamatan diri.
“Bagi saya apabila memakai pelitup muka rasanya lebih selamat dan sebagai langkah berjaga-jaga kerana kita tidak tahu keadaan orang sekeliling,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.