Banduan maut dipukul rakan

Masa Membaca:1 Minit, 25 Saat

AYER KEROH 24 Februari- Lelaki warga Indonesia sedang menjalani hukuman penjara maut selepas parah dipukul banduan lain dalam kejadian di Penjara Sungai Udang, di sini.

Warga asing berusia 47 tahun itu disahkan meninggal dunia ketika sedang menerima rawatan di Hospital Melaka kira-kira jam 6.28 petang semalam.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, kejadian dikatakan berlaku kira-kira jam 2.15 petang, Jumaat lalu (17 Februari) dan disedari wardar sedang melakukan kawalan.

“Ketika melakukan kawalan penjara, wardar mendapati berlaku satu pergaduhan membabitkan dua orang banduan di sebuah bilik di Zon A.

“Akibat pergaduhan mangsa ketika itu dikatakan cedera di kepala dan muka. Ketika dikejarkan ke klinik penjara dia masih dalam keadaan sedar. Dia kemudian dirujuk ke Hospital Melaka bagi mendapatkan rawatan lanjut.

“Pegawai perubatan kemudian mengesahkan mangsa mengalami pendarahan dalam kepala, benjol di kiri kepala, luka pada mata dan telinga sebelah kiri,” katanya.

Christopher berkata ketika kejadian hanya mangsa dan suspek berada di bilik berkenaan manakala banduan lain sedang melakukan aktiviti riadah bebas bermula antara jam 8 pagi hingga 6 petang.

“Kejadian dipercayai berpunca daripada salah faham mengenai makanan yang dibekalkan pihak penjara. Terdahulu sebelum kejadian suspek berusia 34 tahun baharu selesai solat didatangi mangsa yang bertanya adakah dia mengambil makanan miliknya.

“Suspek bertindak memukul mangsa kerana tidak berpuas hati dengan pertanyaan itu. Selain itu suspek juga dikatakan tidak berpuas hati dengan perbuatan mangsa didakwa meninggikan suara terhadapnya,” katanya.

“Mengikut rekod mangsa dihantar ke penjara pada 21 November tahun lalu bagi menjalani hukuman dibawah Akta Imigresen. Manakala suspek pula sedang menjalani hukuman mengikut Seksyen 304(A) Kanun Keseksaan. Kes ini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.

 

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1850
Kongsi :
Previous post Belanjawan 2023: RM64 bilion minimumkan kos sara hidup – PM
Next post Teks ucapan penuh Perdana Menteri pada pembentangan Belanjawan 2023
Ubah saiz-+=