Bangga kepelbagaian budaya di Melaka
PAYA RUMPUT 17 Oktober – Kerajaan Negeri menyeru semua lapisan masyarakat agar bersama-sama berusaha meraikan kepelbagaian yang ada di negara kita terutamanya di Negeri Melaka dengan penuh kebanggaan.
Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri Ngwe Hee Sem berkata, masyarakat perlu mengenali dan memahami budaya yang ada bagi memastikan ia terus hidup serta berkembang.
“Dalam budaya kita terdapat pelbagai tradisi, adat resam dan kepercayaan yang unik. Ia adalah cerminan sejarah dan identiti setiap dari kita.
“Mengenali budaya bermakna kita menghormati warisan nenek moyang justeru itu saya menyeru kita semua untuk terus berusaha dalam meraikan budaya yang ada dengan bangga,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutup Program Kenali Budaya Kita Peringkat Negeri Melaka Tahun 2023, di Sekolah Kebangsaan (SK) Paya Rumput, di sini, hari ini.
Hadir sama Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional negeri, Intan Suhana Yusuff dan Ketua Penolong Pengarah, Unit Pembangunan Bakat Murid Jabatan Pendidikan Melaka, Dr Aras Khamis.
Hee Sem berkata, dengan program yang diatur, pihaknya percaya ia memberi pendedahan kepada masyarakat terutamanya murid dan pelajar sekolah tentang kepelbagaian budaya.
“Saya yakin dan percaya melalui pengisian pelbagai aktiviti yang diadakan termasuk program hari ini, secara tidak langsung dapat memberikan pendedahan kepada murid mengenai realiti kehidupan masyarakat di Malaysia.
“Marilah kita pelihara tradisi lama tetapi juga menerima dan menyokong perkembangan baharu dalam budaya ini kerana ia adalah cara terbaik untuk menjaga serta mengekalkan kepelbagaian dalam kehidupan harian,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Machap Jaya.
Terdahulu, Program Kenali Budaya Kita itu disertai seramai 160 murid membabitkan SK Paya Rumput, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJK) Cina Pay Hwa dan SJK Tamil Paya Rumput.
Pada program itu ia bukan sahaja diadakan program interaktif malah turut diperkenalkan dengan makanan dan pakaian tradisional serta juga persembahan kebudayaan.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.