Bangkai penyu karah tiada kesan cedera

Masa Membaca:1 Minit, 39 Saat

TANJUNG BIDARA 2 Sep – Tiada kesan kecederaan pada bahagian luar bangkai penyu karah betina yang ditemui di pantai peranginan Kampung Padang Kemunting, di sini petang semalam.

Pengarah Jabatan Perikanan negeri, Mohd Fauzi Salehon berkata, siasatan pegawai jabatan itu, Pusat Konservasi dan Penerangan Penyu (PKPP) Padang Kemunting dan Tabung Hidupan Liar Dunia – Malaysia (WWF-Malaysia) mendapati penyu itu ditanda dengan nombor siri MYMO722 pada kaki kanan hadapan.

Katannya nombor itu dikepilkan pegawai PKPP ketika penyu itu naik ke pantai untuk bertelur kira-kira dua tahun lalu.

MENYEDIHKAN…Penyu Karah yang ditemui mati terdampar di pantai.

“Bangkai penyu sepanjang 76.5 sentimeter (sm) dan lebar 70 sm itu dalam keadaan hampir reput dan kaki kiri hadapan dan belakang hampir putus dipercayai akibat sudah terlalu lama terapung di permukaan laut sebelum terdampar di pantai.

“Namun, penelitian tidak menemui sebarang kecederaan pada bangkai penyu itu yang lazimnya berpunca daripada tersangkut pada jaring ikan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Sementara itu, Ketua PKPP, Mastura Daud berkata, dalam kejadian jam 6 petang semalam, bangkai penyu itu ditemui seorang pemilik chalet di pantai itu kira-kira dua meter dari gigi pantai sebelum menghubungi pegawai PKPP.

Katanya, selepas penelitian keadaan fizikal penyu itu dilakukan, bangkainya di kawasan jauh dari pantai bagi mengelakkan dikorek haiwan, terutama anjing.

Mengikut rekod Jabatan Perikanan dan PKPP, pantai Padang Kemunting yang turut dikenali sebagai Kampung Mesra Penyu adalah satu daripada kawasan pendaratan utama penyu karah selain di pantai Melaka Barat dari Tanjung Bidara hingga Kuala Linggi ialah Kem Terendak, Tanjung Dahan dan Balik Batu serta Pasir Gembor.

Purata antara 400 hingga 500 sarang penyu karah dicatatkan di negeri ini setahun dengan Pantai Padang Kemunting mencatatkan lebih 100 pendaratan.

Pendaratan penyu di Padang Kemunting adalah yang tertinggi berbanding di kawasan lain, sekali gus menyumbang 25 hingga 30 peratus daripada keseluruhan pendaratan penyu karah di negeri ini, katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: ‘MYM 0722’ ditemui mati di Pantai Pengkalan Balak

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1026
Kongsi :
Previous post Penjual kuih didenda RM5,000 sebar berita palsu
Next post Pujukan gagal, isteri ‘gertak’ suami terima vaksin
Ubah saiz-+=