Sorting by

×

Pujukan gagal, isteri ‘gertak’ suami terima vaksin

Masa Membaca:1 Minit, 26 Saat

LENDU 2 Sept – “Suami bertegas tidak mahu mendaftar MySejahtera hingga saya terpaksa menakut-nakutkannya. Saya katakan, sesiapa yang tidak menerima vaksin tidak akan dibenarkan masuk bank, kedai dan warung kopi,” kata suri rumah, Norashikin Mohamad, 40.

Katanya, strategi itu berjaya melembutkan hati suaminya, Azmi Ibrahim, 47, untuk hadir menerima vaksin secara terus di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Masjid Tanah di Kompleks Sukan Masjid Tanah, di sini hari ini.

Ibu kepada empat anak berusia lapan hingga 16 tahun itu berkata, dia terpaksa bersabar dalam memujuk suami yang bertegas tidak mahu mendaftar sebagai penerima vaksin.

Katanya dia bukan sengaja ingin menimbulkan ketakutan pada diri suami hingga mendorongnya hadir di PPV berkenaan.

“Alhamdulillah, suami sudah menerima vaksin hari ini dan dos kedua insya-Allah pada hujung bulan ini, manakala saya sendiri sudah menerima dos pertama bulan lalu dan dos kedua tidak lama lagi,” katanya ditemui menemani suami mengambil vaksin dos pertama di PPV itu hari ini.

NORASHIKIN meneliti janji temu suntikan vaksin dos kedua Azmi di PPV Masjid Tanah di Kompleks Sukan Masjid Tanah. – Foto DIN AHMAD

Azmi yang diberhentikan kerja kilang baru-baru ini akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkata, dia keberatan untuk menerima vaksin kerana bimbang kesihatan terjejas.

“Saya dengar bermacam-macam cerita mengenai vaksin, kononnya sesiapa yang ambil vaksin akan diserang pelbagai jenis penyakit.

“Apabila isteri menyatakan sesiapa yang tidak divaksin tidak boleh masuk bank, kedai dan warung kopi, saya bimbang dan terpaksa bersetuju untuk menerima suntikan,” katanya.

Dia berkata, ketika hadir di PPV itu, dia terus berdoa agar dijauhkan daripada perkara tidak diingini dan selepas menerimanya, dia tidak merasakan perubahan kesihatan serta teruja untuk menerima dos kedua.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

519
Kongsi :
Previous post Bangkai penyu karah tiada kesan cedera
Next post Enam ditahan leka menembak guna senapang tiruan
Ubah saiz-+=