Bangunkan aplikasi ‘Melaka Super Apps’ menuju Melaka Digital – Ab Rauf

BANDA HILIR 6 Disember – Kerajaan Negeri bercadang membangunkan aplikasi ‘Melaka Super Apps’ ke arah menuju Melaka Digital dalam tempoh empat tahun akan datang.

Exco Kanan Pelaburan, Perindustrian, Pembangunan Koperasi dan Usahawan negeri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, menerusi aplikasi tersebut, semua maklumat tentang Melaka boleh diakses di hujung jari menerusi telefon pintar.

Maklumat itu katanya, termasuklah membabitkan kawasan pelancongan yang mana ia boleh mendidik masyarakat menuju ke arah digitalisasi.

“Aplikasi ini boleh memberi maklumat secara keseluruhan tentang Negeri Melaka, pengguna hanya perlu klik aplikasi ini di dalam telefon pintar mereka untuk dapatkan segalanya tentang Melaka termasuklah kawasan tumpuan pelancong.

“Kita juga akan mendidik rakyat mendepani dunia tanpa menggunakan wang tunai (cashless), mereka boleh membayar secara terus dengan hanya mengimbas kod QR, ini juga akan diperkenalkan kepada semua ‘retailer’ (peruncit) di negeri ini, termasuklah di medan-medan ikan bakar.

“Bagaimanapun kita perlu mencari rakan kongsi untuk menghasilkan aplikasi ini dengan mana-mana syarikat teknologi yang sudi untuk bekerjsama,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mewakili Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali melancarkan Persidangan Antarabangsa Smart Melaka 2022 (SMIC2022) dan 5G @ Melaka di Hotel Hatten di sini, hari ini.

photo1670309734
Exco Kanan Pelaburan, Perindustrian, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh mengadakan sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran Smart Melaka International Conference 2022 (SMIC2022) di Hotel Hatten, Banda Hilir, Melaka. Foto: MR. AZLI

Hadir sama Exco Pendidikan, Teknologi dan Telekomunikasi negeri merangkap Pengerusi SMIC2022, Datuk Rais Yasin; Ketua Pegawai Eksekutif Melaka ICT Holdings Sdn Bhd (MICTH) Dr Nazdiana Ab Wahab dan lain-lain kenamaan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1364
Previous post Wanita Orang Asli maut dipercayai dipijak gajah
Next post Persidangan Smart Melaka 2022 fokus enam bidang utama – Ab Rauf