Banjir: Jumlah mangsa meningkat di Perak dan Selangor

Masa Membaca:1 Minit, 37 Saat

KUALA LUMPUR, 7 Nov – Jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di Perak dan Selangor mencatatkan peningkatan, pagi ini.

Di PERAK, jumlah mangsa meningkat kepada 299 orang daripada 87 keluarga pada pagi ini berbanding 257 orang daripada 74 keluarga malam tadi, yang ditempatkan di empat PPS di daerah Hilir Perak dan Kerian.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Perak memaklumkan di Hilir Perak, jumlah mangsa di Dewan Serbaguna Padang Tembak bertambah kepada 145 orang daripada 44 keluarga manakala di Kerian jumlah mangsa kekal 97 orang daripada 24 keluarga yang ditempatkan di Sekolah Kebangsaan (SK) Changkat Lobak dan 57 orang daripada 19 keluarga berlindung di SK Alor Pongsu.

“Mangsa banjir yang ditempatkan di Dewan Majlis Perbandaran Teluk Intan semakin berkurangan dan ketika ini tiada mangsa, namun belum ditutup secara rasmi,” katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, Jabatan Pengairan dan Saliran melaporkan paras Sungai Bidor di Changkat Jong berada pada tahap bahaya 4.10 meter, manakala Sungai Kerian di Selama pada tahap amaran 12.21 meter dan Sungai Kinta di Weir Tanjung Tualang pula dalam keadaan berjaga-jaga pada paras 13.30 meter.

Jabatan Kerja Raya Perak pula memaklumkan laluan FT 147 Jalan Selama di Kerian ditutup kepada semua kenderaan akibat tanah runtuh, sementara laluan A111 Jalan Pintasan Alor Pongsu-Bukit Merah dijadikan sebagai jalan alternatif.

Di SELANGOR, jumlah mangsa meningkat kepada 673 orang daripada 170 keluarga pagi ini berbanding 547 orang daripada 144 keluarga malam tadi, dengan sebuah lagi PPS dibuka di Dewan Serbaguna MBSJ Camelia Seksyen 10, Putra Height, Subang Jaya yang menempatkan 91 mangsa.

Menurut Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat, pembukaan PPS tersebut menjadikan tujuh PPS telah dibuka di negeri itu termasuk dua di Hulu Langat iaitu SK Bangi dan SK Semenyih serta empat PPS di Sepang iaitu di Dewan Orang Ramai Kampung Dato Ahmad Razali, Dewan Orang Ramai Jenderam Hilir, Dewan Orang Ramai Taman Gemilang dan Sekolah Menengah Kebangsaan Dengkil.

— BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1087
Kongsi :
Previous post KRT Bukit Nangka rangkul tempat ketiga Anugerah Pengurusan Jiran Muda Terbaik 2023
Next post Pelantikan jawatankuasa masjid dan surau hak orang Islam – Exco
Ubah saiz-+=