Banjir kilat mulai surut

Masa Membaca:1 Minit, 5 Saat

AYER KEROH 10 Julai – Banjir kilat yang melanda sembilan kawasan di Daerah Melaka Tengah akibat hujan lebat berterusan kira- kira tiga jam awal pagi ini mulai surut.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Melaka Tengah Kapten Awang Bohari Awang Ahet berkata, pihaknya menerima panggilan daripada penduduk kira-kira jam 5.30 pagi sebelum 18 anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) digerakkan ke kawasan yang terjejas.

Beliau berkata, pihaknya menerima maklumat terdapat sembilan kawasan yang terjejas akibat banjir kilat antaranya Bukit Beruang Bestari, Pulau Kelapa, Pengkalan Rama Pantai, Sungai Putat serta Duyong, bagaimanapun tiada sebarang pemindahan dan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dibuka.

“Kebanyakkan kediaman yang terjejas dimasuki air di kawasan Duyong dan paras air hanya antara 0.3 meter hingga 0.6 meter, manakala di Bukit Beruang pula hanya jalan taman dinaiki air tidak membabitkan kediaman.

“Bagaimanapun, difahamkan air sudah mulai kering kira- kira jam 8.30 pagi selepas air laut surut dan pemantauan masih diteruskan oleh pihak APM,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri, Penolong Penguasa Bomba Soon Wee Kiang berkata, tiga pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) iaitu dari BBP Ayer Keroh dan BBP Bukit Katil keluar, sebaik menerima panggilan membabitkan berlakunya banjir kilat.

“Selain menerima panggilan membabitkan rumah dinaiki air, bomba juga membantu mengalihkan lima kenderaan yang tersangkut dikawasan yang terjejas,” katanya.

Views:

330
Kongsi :
Previous post Pawagam pandu masuk: Penyelesaian bagi individu ragu-ragu tonton wayang beramai-ramai?
Next post PAS minta jangan politikkan institusi pendidikan
Ubah saiz-+=