Banjir: Mangsa di Melaka meningkat 2,555 orang tengah hari ini, satu lagi PPS dibuka

Masa Membaca:1 Minit, 16 Saat

AYER KEROH 3 Jan – Jumlah mangsa banjir di Melaka masih menunjukkan peningkatan tengah hari ini dengan seramai 2,555 telah dipindahkan berbanding 2,537, pagi tadi.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Melaka, Lt Kol (PA) Cuthbert John Martin Quadra berkata, jumlah pusat pemindahan sementara (PPS) turut meningkat dengan pertambahan satu lagi PPS dibuka di daerah Jasin.

Katanya, setakat ini 10 PPS dibuka di daerah Alor Gajah, sembilan di Melaka Tengah dan empat di Jasin.

“PPS yang terbaharu dibuka ialah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Rambai yang masih dalam proses pendaftaran,” katanya.

Beliau berkata, daerah Melaka Tengah masih merekodkan jumlah mangsa tertinggi dengan 1,402 mangsa diikuti 1,017 mangsa di daerah Alor Gajah dan 136 di Jasin.

Katanya lagi, jumlah kawasan yang terjejas masih kekal 32 kawasan membabitkan 14 di daerah Alor Gajah, sembilan di Melaka Tengah dan sembilan di Jasin.

Di Alor Gajah, kawasan terjejas melibatkan Kampung Gadek Dalam, Taman Seri Bayu 1 dan 2, Pengkalan, Kampung Panchor, Kampung Beringin, Kampung Sungai Siput, Lubok China, Kampung Jeram, Kampung Belimbing, Kampung Pulau, Kampung Telok Berembang, Kampung Bukit Balai, Kampung Gangsa dan Taman Angkasa Nuri.

Manakala di Melaka Tengah membabitkan Kampung Lanjut Manis, Padang Siapong, Kampung Tanah Merah, Taman Merdeka Jaya, Taman Tamby Chik Karim, Rumah Awam Peringgit, Kampung Bachang Darat, Balai Panjang dan Bertam Malim.

Di Jasin pula, meliputi Kampung Chinchin, Chinchin Hulu, Kampung Sungai Dua Asahan, Chohong dan Chenderah, Kampung Parit Penghulu, Kampung Lanchang Kampung Tersusun Rambai Jaya serta Kampung Tasek.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1089
Kongsi :
Previous post Banjir: 57 mangsa dari 12 keluarga di PPS SK Parit Penghulu
Next post Banjir: Tabah hadap banjir lebih 80 kali
Ubah saiz-+=