Bantu peniaga kecil, TEKUN lanjut tempoh bayaran balik pinjaman – Ab Rauf

Masa Membaca:1 Minit, 33 Saat

AYER KEROH 5 Mac – Tabung Kumpulan Usahawan Niaga (TEKUN) Nasional memberi tempoh lanjutan bayaran balik kepada peminjam yang terkesan sepanjang penularan pandemik COVID-19.

Exco Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata bagaimanapun peminjam perlu segera membayar balik pinjaman mereka bagi membolehkan pihak TEKUN memberi peluang kepada peniaga lain.

“Pihak TEKUN telah melanjutkan tempoh bayaran balik kepada mereka yang terkesan ini.

“Dan saya mengharapkan mereka yang terkesan ini mesti bekerjasama dengan pihak TEKUN, apabila tiba satu masa kaedah pemulihan itu dah ada dia boleh membantu membayar balik.

“Duit yang dibayar balik itu akan diberikan sebagai modal pusingan kepada orang lain yang hendak berniaga,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan lawatan dan beramah mesra bersama peniaga di Leypark Station di sini, malam tadi.

Hadir sama, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya Datuk Shadan Othman.

LEYPARK Station bantu peniaga kecil terkesan waktu pandemik COVID-19.

Ujarnya, setakat ini TEKUN tidak menghadapi sebarang masalah dengan peminjam dan rata-rata mereka memberi kerjasama dalam bayaran balik pinjaman diberikan.

“Kalau mereka (peminjam) tidak bayar TEKUN pun tidak boleh beri kepada orang lain untuk beri pinjaman, jadi memang kita faham waktu pandemik ini banyak peniaga terkesan.

“TEKUN tiada masalah dengan peminjam sebab TEKUN ini amat prihatin tentang permasalahan rakyat,” katanya.

Dalam pada itu, Ab Rauf menyarankan supaya TEKUN dan SME Corp terus membantu peniaga kecil yang terkesan dan memerlukan suntikan dana untuk meluaskan perniagaan mereka.

“Saya menyarankan kepada TEKUN dan SME Corp untuk melihat dan membantu mereka yang memerlukan dana suntikan.

“Saya melihat bahawa ini adalah satu permulaan yang baik kepada pengusaha yang mula berniaga.

“Leypark Station seperti di sini contohnya merupakan permulaan untuk mereka yang mahu belajar berniaga dan dengan cara ini mungkin mereka boleh besarkan lagi perniagaan selepas ini,” katanya lagi.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1741
Kongsi :
Previous post Konvoi 144km promosi pelancongan Melaka
Next post Melaka bakal jadi destinasi terunggul pelancongan dunia
Ubah saiz-+=