Bantulah adik Muhammad Aqeef…

Masa Membaca:1 Minit, 29 Saat

KLEBANG 20 Januari – Dahulu, Muhammad Aqeef Irmi Shahrizan, 14 merupakan seorang remaja yang aktif dan ceria, namun siapa sangka nasibnya berubah 360 darjah apabila kini hanya mampu terlantar di rumah.

Semuanya bermula apabila dia mengalami demam panas sebelum kesihatannya semakin merosot dan terpaksa ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU), sebelum disahkan menderita jangkitan kuman dalam otak.

Bapa remaja malang itu, Irmi Shahrizan Mohd Nasir, 41 berkata, walaupun sedih dengan nasib menimpa anaknya itu, namun dia sekeluarga perlu reda dan terus cekal dalam menjaga anak sulung dari tiga beradik itu.

Katanya, disebabkan jangkitan itu, Muhammad Aqeef kini tidak mampu menguruskan diri dan tidak dapat kembali ke sekolah seperti anak-anak lain.

“Dahulu selalu dengar suara dia, sekarang nak dengar suara dia pun susah. Memang sedih kerana dia sangat rapat dengan saya dan isteri, tetapi kami perlu reda.

“Apabila dia terlantar sekarang, dia tidak mampu lagi menguruskan diri dan hanya dapat minum susu yang diberikan menerusi tiub,” katanya ketika ditemui pemberita di kediamannya di Taman Bukit Rambai, di sini.

Menurut Irmi Shahrizan, anaknya itu memerlukan susu khas dengan harga sekitar RM70 hingga RM80 satu tin dan memerlukan anggaran 15 tin setiap bulan.

Dengan pendapatan sekitar RM1,800 sebagai penghantar makanan, dia mengakui adakalanya berdepan kesukaran kerana terpaksa menanggung perbelanjaan harian di rumah, selain dua lagi anaknya yang masih bersekolah.

Katanya, disebabkan kekangan itu, mereka sekeluarga terpaksa berjimat-cermat dan mengutamakan keperluan Muhammad Aqeef dan sewa rumah berjumlah RM400 sebulan terlebih dahulu.

“Mungkin ada hikmah kami diuji sebegini, apapun kami perlu kuat dan sangat berharap Aqeef kembali pulih seperti sedia kala,” katanya.

Kepada orang ramai yang ingin membantu bolehlah berhubung dengan ibunya, Suhaili di talian 011-53125048 atau menyalurkan sumbangan di akaun bank 04995-41-10021143-1 (Bank Simpanan Nasional).

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

942
Kongsi :
Previous post Gitaris Olan tak malu jadi pekerja pembersihan di Melaka
Next post Lelaki maut langgar babi hutan
Ubah saiz-+=