Gitaris Olan tak malu jadi pekerja pembersihan di Melaka

Masa Membaca:2 Minit, 32 Saat

PAYA RUMPUT 20 Januari – Mencipta populariti bersama kumpulan rock popular era 90-an, Olan menjadi antara kenangan manis buat Zulkifli Abdul Hamid, 57.

Dia yang merupakan gitaris kumpulan yang popular dengan lagu Cinta Bandar Tasik Selatan berbangga apabila lagu itu masih menjadi siulan ramai sehingga ke hari ini.

Zulkifli yang turut dikenali sebagai Azul Olan berkata, dirinya tidak pernah mengimpikan akan bergelar seorang anak seni kerana pada asalnya dia hanya bermain gitar untuk suka-suka bersama rakan-rakan.

Namun, semuanya bermula apabila dia berkunjung ke rumah rakan di Kuala Pilah, Negeri Sembilan dan dari situ dia mula mengenali ahli-ahli kumpulan Olan dan menyertai mereka membuat persembahan di majlis-majlis perkahwinan.

“Nama Olan memang telah dikenali sebagai kumpulan muzik yang popular di Kuala Pilah dan tanpa disangka-sangka kami dirisik sebuah syarikat rakaman pada penghujung 1989.

“Album pertama kami terbit pada 1990 dan dari situlah kami dikenali dengan lagu Cinta Bandar Tasik Selatan sehinggalah lagu itu membawa kami pentas akhir Anugerah Juara Lagu 1991 bersama Shima, Laksamana, Mega, Damasutra dan lain-lain.

“Walaupun saya dan Olan telah berpecah pada 1993, namun kenangan manis bersama kumpulan itu masih segar diingatan saya,” katanya ketika ditemui pemberita di pejabat SWM Environment Sdn Bhd (SWM Environment), di Krubong, di sini.

Meskipun telah lama meninggalkan dunia seni dan kini berkhidmat sebagai pekerja pembersihan di SWM Environment, Zulkifli tidak pernah malu dengan kerjayanya itu.

Baginya, kerjaya sebagai pekerja pembersihan merupakan satu tugas yang mulia kerana ia berkait dengan alam sekitar yang akan diwarisi generasi akan datang.

“Saya akui memang ada yang pernah memandang rendah kepada saya kerana dahulu bergelar selebriti, tetapi kini bekerja dengan syarikat berkaitan sampah.

“Namun, saya tidak melatah dan berkata kepada mereka bahawa hidup ini umpama roda. Adakalanya kita di atas dan adakalanya kita di bawah.

“Selagi kerja yang kita buat halal dan demi kebaikan orang ramai dan generasi akan datang, kenapa saya perlu malu?,” katanya yang kini menetap di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Krubong.

Img 20240120 140054
ZULKIFLI menunjukkan rakaman video ketika dia beraksi di pentas akhir Anugerah Juara Lagu 1991.

Anak jati Ipoh, Perak itu telah menetap di Melaka hampir 30 tahun selepas berkahwin dengan isteri, Asiah Hamid, 51 yang berasal dari Bukit Rambai.

Menurut Zulkifli, walaupun ramai yang melabel pekerja pembersihan sebagai kerjaya kelas bawahan, namun dia membuktikan dengan kerjaya itu dia mampu mengumpul duit untuk menunaikan umrah.

Malah, sedar tidak sedar, sudah 19 tahun dia menabur bakti dan keringat dalam memastikan Melaka kekal bersih.

“Saya bermula di SWM Environment pada tahun 2005 yang pada awalnya saya ditugaskan sebagai pekerja pembersihan longkang monsun (monsoon drain).

“Selepas itu, saya juga pernah menjadi kru lori mengutip sampah di longkang dan mengutip sisa domestik di rumah-rumah dan medan selera sehinggalah kini saya ditempatkan di stor mesin rumput selepas mengalami sakit saraf pada tangan dan kaki.

“Saya gembira dengan apa yang saya lakukan kerana kebajikan saya di sini terjaga, selain saya juga bangga kerana menjadi antara petugas barisan hadapan dalam menjaga kelestarian alam,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

4771
Kongsi :
Previous post Panjang bawa 4 misi bersama Melaka
Next post Bantulah adik Muhammad Aqeef…
Ubah saiz-+=