Panjang bawa 4 misi bersama Melaka

Masa Membaca:1 Minit, 23 Saat

BANDARAYA MELAKA 20 Januari – Tekong kebangsaan, Mohamad Syahir Mohd Rosdi bertekad mahu membantu skuad sepak takraw Melaka meraih pelbagai kejayaan sepanjang 2024.

Mesra disapa Panjang dalam kalangan rakan-rakan, Mohd Syahir yang mengikat kontrak selama setahun bersama Melaka membawa empat misi untuk direalisasikan.

Pemain berusia 28 tahun itu berkata, antara sasarannya dalam masa terdekat ialah untuk membantu Melaka menamatkan kemarau 39 tahun dengan menjulang Piala Emas Khir Johari yang berlangsung 22 hingga 27 Januari ini.

“Sasaran kami memang mahu menjadi juara dan akan melakukan yang terbaik untuk Melaka selepas diberi penghormatan untuk menyarung jersi bumi Hang Tuah ini.

“Misi kedua saya pula ialah mahu membantu Melaka menjuarai saingan Divisyen 1 Liga Sepak Takraw (STL) 2024 yang mana saya mahu membantu Melaka naik semula ke Divisyen Premier.

“Jika bergelar juara Divisyen 1, sudah tentulah kita akan beraksi di Champion Cup dan itu juga antara misi kami untuk muncul johan dan diakhiri dengan kejayaan pada saingan Piala Tun Mohd Ali,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Mohamad Syahir merupakan antara enam tonggak kebangsaan yang diikat Melaka bagi menghadapi kejohanan sepak takraw sepanjang tahun 2024.

Selain pemain berpengalaman, Melaka turut mempertaruhkan barisan pemain muda berpotensi besar untuk digilap ke tahap lebih tinggi.

Mohamad Syahir yang berpengalaman luas dalam arena sepak takraw berkata, dia tidak mempunyai masalah besar untuk bergandingan dengan muka-muka baharu dalam apa jua kejohanan.

Sebagai pemain senior, ujarnya, dia sedia untuk menurunkan ilmu bagi membantu pemain-pemain muda mengasah bakat mereka.

“Dengan pengalaman luas beraksi di kejohanan antarabangsa, kami akan berusaha untuk membantu mereka (pemain muda) terus mencipta nama dalam sukan ini pada masa akan datang,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2607
Kongsi :
Previous post 165 premis penginapan tawar kupon cabutan bertuah TMM2024
Next post Gitaris Olan tak malu jadi pekerja pembersihan di Melaka
Ubah saiz-+=