Bapa sanggup bawa anak samun kedai serbaneka

Masa Membaca:1 Minit, 10 Saat

BATU BERENDAM 25 Disember – Seorang bapa tergamak membawa anaknya berusia 12 tahun untuk melakukan jenayah samun di sebuah kedai serbaneka di Taman Sutera, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.30 tengah hari itu, suspek yang bersenjatakan pisau telah melarikan wang tunai RM197 dan tiga kotak rokok.

Namun, tidak sampai lima jam melakukan jenayah itu, suspek berusia 32 tahun berjaya dicekup sepasukan polis dari cawangan Siasatan Khas D9 Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah bersama Team Taskforce Balai Polis Batu Berendam.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, lelaki yang tidak bekerja itu dipercayai mempergunakan anaknya yang juga orang kurang upaya (OKU) lembam untuk mengaburi kegiatannya melakukan jenayah berkenaan.

Manakala, ketika kejadian, ibu kanak-kanak itu sedang berniaga kerepek.

“Sewaktu penahanan polis turut merampas wang tunai RM187, sekotak rokok dan pakaian yang digunakan suspek sewaktu kejadian.

“Hasil siasatan mendapati suspek mempunyai tiga rekod jenayah lampau iaitu membabitkan dua kes jenayah dan satu kes dadah,” katanya.

Beliau berkata, penahanan itu juga berjaya menyelesaikan satu kes curi cincin yang juga berlaku di daerah Melaka Tengah membabitkan suspek yang sama.

“Suspek telah direman selama empat hari bermula 24 Disember, manakala anaknya dibebaskan dengan jaminan polis.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan iaitu rompak berkumpulan menggunakan senjata yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat jika sabit kesalahan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2652
Kongsi :
Previous post Kerajaan wujud Jawatankuasa Pelaksanaan dan Pemantauan Kos Sara Hidup Rakyat
Next post Sukarelawan Melaka selamatkan 300 mangsa banjir Pantai Timur
Ubah saiz-+=