BARA Melaka jadi platform pupuk semangat Keluarga Malaysia

Masa Membaca:1 Minit, 20 Saat

AYER KEROH 1 Ogos – NGO Pertubuhan Sabar Bersama Rakyat Malaysia (BARA) Melaka mengajak orang ramai untuk menjadi ahlinya demi memupuk semangat perpaduan tanpa mengira kaum, bangsa dan agama.

Pengerusi BARA Melaka Manaf Ariffin berkata, berteraskan ‘Keluarga Malaysia’ sehingga kini BARA mempunyai hampir 200 ahli dan dijangka mencapai sehingga 360 ahli dalam masa terdekat.

“Hala tuju kita pelbagai, antaranya misi bantuan kemanusiaan yang mana kita menyediakan sukarelawan jika berlaku musibah di negara ini, sebagai pro Kerajaan Pusat yang memerintah, namun hubungan dengan kerajaan negeri tetap dijaga.

“Taat dan patuh pada Rukun Negara, mempertahankan hak orang Melayu dan agama Islam menjadi keutamaan, namun tetap menghormati agama dan kaum lain demi keamanan dan kestabilan politik negara.

“BARA mula ditubuhkan pada Mei lalu, dan setakat ini hampir 200 ahli yang telah berdaftar dan kita mahu setiap Ketua Puteri, Wanita dan Pemuda mencari seramai 60 ahli bagi setiap parlimen di negeri ini,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Katanya, semua kaum dan warganegara Malaysia yang berumur 18 tahun ke atas layak menjadi ahli badan bukan kerajaan (NGO) itu.

“Pertubuhan ini bukan hanya fokus kepada orang Melayu, malah semua kaum termasuk Cina dan India yang telahpun menyertai pertubuhan ini.

“Ini kerana hala tuju utama kita meliputi perpaduan kaum, agama, adat istiadat, Bahasa Melayu, pendidikan, ekonomi, kesihatan, pembangunan insan dan belia, usahawan muda serta belia dan sukan,” katanya.

Terdahulu kira-kira 25 ahli BARA Melaka telah diberikan watikah oleh Setiausaha Politik Ketua Menteri Melaka, Abdul Hakim Abdul Wahid di Masjid Tanah, baru-baru ini.

Hadir sama Ketua Penerangan BARA Melaka, Amir Hamzah Abdul Aziz.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2646
Kongsi :
Previous post Harga maksimum minyak botol RM34.70 bermula 8 Ogos – Annuar
Next post Kursus lahir usahawan ‘celik’ digital
Ubah saiz-+=