Harga maksimum minyak botol RM34.70 bermula 8 Ogos – Annuar

Masa Membaca:1 Minit, 24 Saat

KUALA LUMPUR, 1 Ogos – Minyak masak sawit dalam botol lima kilogram (5kg) akan dijual pada harga RM34.70 bulan ini bermula dari 8 Ogos, kata Pengerusi Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi Tan Sri Annuar Musa.

Annuar berkata harga itu ditetapkan susulan pelaksanaan harga maksimum minyak berkenaan secara bulanan berdasarkan harga bagi satu tan metrik minyak sawit mentah (CPO) diumum oleh Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), dengan harga RM4,063 bagi bulan Ogos.

“Berdasarkan penentuan harga ini mulai hari ini, penguatkuasaan harga di kedai-kedai hendaklah mula dilaksanakan tujuh hari kemudian, bermakna 8 Ogos minyak masak dalam botol 5kg yang sekarang dijual dari RM39 hingga RM42 hendaklah dijual pada harga maksimum RM34.70,” katanya pada sidang media di Bangunan Parlimen selepas mempengerusikan mesyuarat Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi di sini hari ini.

Bagaimanapun, Annuar berkata harga berkenaan hanya berkuat kuasa untuk Semenanjung Malaysia.

Sementara itu, Annuar yang juga Menteri Komunikasi dan Multimedia berkata dengan pengumuman itu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan mengambil langkah-langkah berikutnya untuk mewartakan harga berkenaan.

Katanya kaedah sama akan dikekalkan pada bulan-bulan akan datang, dengan harga maksimum berkenaan akan berubah setiap bulan berdasarkan harga semasa CPO yang diumumkan oleh MPOB setiap awal bulan.

“Bagi peniaga yang gagal mematuhi penetapan harga maksimum ini, KPDNHEP boleh mengambil tindakan berdasarkan peraturan yang ada,” katanya sambil menyatakan jadual harga maksimum bagi minyak masak botol 1kg hingga 3kg akan dikeluarkan oleh KPDNHEP.

Minggu lalu kerajaan memutuskan untuk mewartakan harga maksimum minyak masak dalam botol, bagi memastikan produk itu mempunyai harga maksimum dari semasa ke semasa dan bagi membantu rakyat menangani kenaikan kos sara hidup. – BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1021
Kongsi :
Previous post Ibu ‘pergi’ sewaktu terima keputusan cemerlang SPM
Next post BARA Melaka jadi platform pupuk semangat Keluarga Malaysia
Ubah saiz-+=