Basikal air bantu kutip sampah di Sungai Melaka

Masa Membaca:1 Minit, 21 Saat

DUYONG 11 Disember – Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM) menerima enam basikal air atau ‘SMART Hydrobike’ sebagai inisiatif baharu membantu mengutip sampah di Sungai Melaka.

Produk inovasi Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) itu secara tidak langsung memperkenalkan kemudahan baharu yang ada di Sungai Melaka selain Melaka River Cruise.

Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri, Datuk Fairul Nizam Roslan berkata selain mempunyai kelebihan mengutip sampah, basikal itu juga menggalakkan pengguna mengamalkan gaya hidup sihat.

“Saya dimaklumkan ada negeri-negeri yang berminat untuk datang dan melihat sendiri produk ini secara lebih dekat, justeru saya harap Melaka adalah pencetus idea kepada penghasilan lebih banyak produk bermanfaat.

“Kos bagi menghasilkan seunit SMART Hydrobike adalah antara RM3,000 hingga RM5,000, sudah tentu PPSPM akan membuat kajian menyeluruh jika perlu menambah basikal ini untuk kegunaan awam.

“Bagi tempoh percubaan ini hanya kakitangan terlibat gunakannya untuk kerja pembersihan Sungai Melaka, jika impaknya positif insya-Allah kita buka kepada orang ramai,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Program SMART Hydrobike Melestarikan Sungai Melaka Bersama UTeM dan PPSPM di Dataran Pengkalan Rama, di sini, hari ini.

Hadir sama Timbalan Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi negeri, Datuk Noor Helmy Abdul Halem; Ketua Pegawai Eksekutif PPSPM, Datuk TPr. Murad Husin serta Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UTeM, Prof Madya Datuk Dr. Sabri Mohamad Sharif.

Mengulas lanjut, Fairul Nizam berkata Kerajaan Negeri menyokong inisiatif UTeM membangunkan SMART Hydrobike dalam melestarikan keindahan Sungai Melaka.

“Penyelidik UTeM hasilkan sebanyak 10 unit basikal air dan daripada jumlah itu enam diberikan kepada PPSPM,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1531
Kongsi :
Previous post Huawei tunjuk minat melabur di Melaka
Next post Polis syak mungkin hanya seorang individu terlibat pembunuhan Zayn Rayyan
Ubah saiz-+=