Batal pasar Ramadan jika ingkar SOP – KM

Masa Membaca:2 Minit, 1 Saat

AYER KEROH 14 April. – Kerajaan negeri akan membatalkan penganjuran pasar Ramadan di negeri ini sekiranya pihak penganjur gagal memastikan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi membendung penularan COVID-19.

Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali berkata, ia rentetan masih terdapat segelintir pihak penganjur gagal menguatkuasakan sepenuhnya SOP hingga mengakibatkan orang ramai bersesak di pasar Ramadan ketika membeli juadah berbuka selain menimbulkan kesesakan jalan raya.

“Saya lihat kepada penganjur, kalau mana-mana penganjur yang tidak mematuhi SOP ditetapkan masih lagi keadaan bersesak-sesak, maka penganjur tersebut akan kita ambil tindakan atau batalkan saja (pasar Ramadan).

“Tetapi saya akan memperhalusi dan bincang dengan pihak Pengerusi Jawatankuasa COVID-19 Negeri Melaka, begitu juga pihak berkuasa tempatan (PBT) terlibat yang memberikan lesen kepada penganjur,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan di Pejabat Melaka Hari Ini (MHI) di sini, hari ini.

Jelasnya, pihak penganjur diingatkan supaya menguruskan pasar Ramadan itu dengan meletakkan bilangan penjaga yang sepatutnya bagi memantau pematuhan SOP.

“Jika dia (penganjur) tidak tambah orang yang menjaga untuk pembeli-pembeli ini datang pasar Ramadan, kita tidak teragak-agak untuk ambil tindakan sama ada menutup atau tukar bagi kepada penganjur lain yang boleh ‘handle’ lebih baik.

“Kita tak benarkan satu kawasan itu melebihi berapa orang atau perlu mengikut saiz sesebuah gerai.

“Kalau penjual dua orang dan yang nak beli lima orang, sudah pasti jadi sesak hingga belanggar bahu sekali gus tiada penjarakan fizikal lagi,” katanya.

Sulaiman berkata, kerajaan negeri ingin membantu golongan peniaga di negeri ini.

“Sebagai contoh di Kelantan kita tengok ia tak benarkan (pasar ramadan disebabkan peningkatan kes COVID-19) tetapi di Melaka kita benarkan sebab saya sayangkan rakyat terutamanya golongan peniaga ini.

“Saya lihat dengan teliti, but I don’t want today will happen again (tapi saya tidak mahu perkara ini berlaku lagi), kalau berlaku juga got to do something (tidakan perlu diambil) supaya peningkatan COVID-19 ini tak meningkat di Melaka,” katanya lagi.

Semalam, MHI melaporkan keadaan pasar Ramadan di Taman Rambai Jaya di bawah kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Paya Rumput sesak teruk dengan pengunjung yang tidak mengamalkan penjarakan fizikal ketika membeli juadah berbuka.

Keadaan itu berlaku sekitar jam 6 hingga 7 petang hingga berlaku kesesakan lalu-lintas di kawasan terbabit.

Laporan dan gambar berkenaan kemudian tular sehingga menimbulkan kebimbangan dalam kalangan rakyat kemungkinan wujudnya kluster baharu sekaligus menyebabkan peningkatan kes baharu COVID-19 di negeri ini.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

509
Kongsi :
Previous post 417,470 individu lengkapkan dua dos suntikan vaksin COVID-19
Next post Kemenangan bukan sekadar pencapaian, tetapi sebuah persahabatan
Ubah saiz-+=