Bayaran haji B40 tahun ini ditetapkan RM12,356 – TH

Masa Membaca:2 Minit, 33 Saat

Syed Hamadah berkata bagi kumpulan T20, mereka akan dikenakan bayaran penuh kos untuk menunaikan haji sebanyak RM33,300 seorang.

“TH turut terdedah kepada faktor di luar kawalan seperti peningkatan kadar inflasi, cukai nilai tambah dan caj perkhidmatan di Tanah Suci,” katanya sebagai mengulas peningkatan kos haji itu.

Dalam usaha mengawal peningkatan kos haji, beliau berkata TH telah memeterai perjanjian kontrak jangka panjang melibatkan penerbangan, penginapan, sajian makanan dan beberapa perkhidmatan di Arab Saudi.

“Walaupun berlaku kenaikan kos haji, TH tetap mencari kaedah terbaik mengimbangi usaha memberikan perkhidmatan cemerlang demi kebajikan jemaah negara di samping mengekalkan kelestarian kedudukan kewangan.

“Struktur bayaran haji ini, iaitu jemaah haji golongan B40 dan M40 masing-masing menikmati Bantuan Kewangan Haji hingga 42 peratus dan 60 peratus daripada kos sebenar, akan memberi tekanan terhadap kedudukan kewangan TH,” katanya.

Menurut beliau sejak 2001, TH membelanjakan sejumlah RM2.4 bilion bagi Bantuan Kewangan Haji dan dijangka membiayai kos sebanyak RM350.1 juta bagi musim haji tahun ini.

Sementara itu, Syed Hamadah berkata TH akan mula mengeluarkan Surat Tawaran Haji kepada 31,600 jemaah haji 2024 bermula hari ini.

“Bakal haji perlu mencukupkan bayaran haji dan lulus pemeriksaan kesihatan sebelum menjawab surat tawaran berkenaan dalam tempoh 11 hari bekerja melalui aplikasi THiJARI atau untuk kes-kes tertentu boleh mengunjungi mana-mana cawangan TH berdekatan,” katanya.

Beliau berkata daripada 31,600 jemaah yang layak menunaikan haji tahun ini, dijangkakan 40 peratus daripadanya ialah kumpulan B40, manakala 58 peratus terdiri dalam kumpulan M40 dan selebihnya ialah kumpulan T20.

Bagi pemilihan bakal haji, beliau berkata TH akan mengutamakan bakal haji yang berbaki pada tahun lepas dan mereka yang gilirannya adalah pada tahun ini.

“Hal ini berdasarkan sistem pendaftaran haji berasaskan prinsip yang dahulu, didahulukan. Rayuan haji melalui platform dalam talian THiJARI akan dibuka bermula 26 Jan ini,” katanya.

Syed Hamadah berkata sekiranya ada penolakan surat tawaran haji dan terdapat kekosongan, maka ia akan diisi oleh mereka yang membuat permohonan rayuan serta berkelayakan.

— BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

627
Kongsi :
Previous post Melaka negeri pertama angkat ‘darjat’ pemain sepak takraw
Next post Lot kedai warna-warni, naikkan ‘aura’ Pulau Melaka
Ubah saiz-+=