Lot kedai warna-warni, naikkan ‘aura’ Pulau Melaka

Masa Membaca:1 Minit, 29 Saat

PULAU MELAKA 19 Januari – Lot rumah kedai di Pulau Melaka kini berwajah baharu, lebih ceria dan menarik, sekali gus mampu menarik lebih ramai usahawan untuk menjalankan operasi mereka di pusat perniagaan itu selain menggamit kedatangan pelawat.

Wajah baharu itu adalah hasil kerja mengecat semula bangunan rumah kedai berkenaan dengan pelbagai warna yang dilaksanakan Perbadanan Ketua Menteri Melaka (CMI).

Pengurus Besar CMI, Masrul Faizal Mohamad berkata, selain persekitaran perniagaan yang lebih kondusif, berdaya maju dan menarik usahawan berminat menjalankan operasi mereka di Pulau Melaka turut ditawarkan sewaan percuma selama setahun.

“Saya mempelawa semua usahawan untuk datang ke Pulau Melaka dan merebut peluang tawaran sewaan menarik kami tawarkan. Tawaran sewaan percuma adalah untuk tempoh setahun, bagi tahun berikutnya bayaran adalah berdasarkan kadar telah ditetapkan.

“Jadi sepanjang tempoh setahun pertama penyewa boleh gunakan masa yang ada untuk mengukuhkan perniagaan dan menjalankan aktiviti promosi produk atau perkhidmatan yang disediakan tanpa memikirkan kos sewaan.

“Lokasi ini amat sesuai bagi operasi kafe hispter, kedai ‘bundle’, barangan antik, kraf tangan atau hasil seni batik. Gabungan persekitaran wajah baharu dan produk menarik sudah pasti mampu menarik kedatangan lebih ramai pengunjung serta pelancong ke Pulau Melaka,” katanya.

Beliau berkata, setakat ini terdapat kira-kira 600 lot rumah kedai di Pulau Melaka yang diletakkan di bawah seliaan CMI.

Menurutnya, lokasi perniagaan itu juga sesuai bagi usahawan menyediakan perkhidmatan servis kenderaan, dijadikan pusat bagi institusi menyediakan kursus Pendidikan Teknikal dan Pendidikan Vokasional (TVET) atau pengajian akademik lain.

“Pusat perniagaan ini juga terletak berhampiran Masjid Selat dan destinasi tarikan lain. Ini antara inisiatif untuk mentrasformasikan Pulau Melaka daripada lokasi yang suram kepada pusat berniagaan yang berdaya maju.

“Sementara itu setiap hujung minggu Pulau Melaka meriah dengan pasar malam seperti ‘Harbour Street’ menawarkan pelbagai produk dan makanan menarik,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1092
Kongsi :
Previous post Bayaran haji B40 tahun ini ditetapkan RM12,356 – TH
Next post Bas ekspres terbakar, 17 penumpang dan dua pemandu terselamat
Ubah saiz-+=