Bazar Ramadan: 1 gerai hanya 2 pelanggan

Masa Membaca:1 Minit, 18 Saat

AYER KEROH 29 April – Majlis Keselamatan Negara (MKN) Negeri Melaka menasihati orang ramai terus mematuhi aspek penjarakan fizikal ketika mengunjungi bazar Ramadan dan Aidilfitri di negeri ini.

Pengarah MKN Melaka Mohd Nasrul Menhat berkata, garis panduan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan ialah hanya dua pelanggan sahaja dibenarkan pada satu-satu masa untuk mengurangkan risiko bersesak-sesak.

PENIAGA, Nortiyah Abudara, 37, (kiri) melayan dua pengunjung membeli juadah berbuka puasa dengan mematuhi SOP iaitu hanya dua pelanggan untuk satu gerai pada satu-satu masa di bazar Ramadan di Taman Cempaka. Foto: MR. Azli

“Had pengunjung yang ditetapkan ialah mengikut nisbah satu gerai dua pengunjung pada satu-satu masa, bertujuan untuk memastikan adanya penjarakan fizikal dan mengelakkan situasi sesak di kawasan perniagaan.

“Garis panduan ini adalah sama ditetapkan bagi setiap bazar Ramadan dan Aidilfitri di negeri ini dan kita berharap orang ramai akan patuh,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Mengulas lanjut beliau berkata, buat masa ini tiada ketetapan untuk had khemah peniaga di bazar Ramadan dan Aidilfitri, sebaliknya ia bergantung kepada penganjur bazar dan kelulusan diberikan pihak berkuasa tempatan (PBT).

Hal sama, ujarnya, turut terpakai untuk laluan keluar dan masuk di setiap bazar yang mana MKN tidak menetapkan ketetapan bilangan keluar dan masuk sebaliknya ia bergantung kepada penganjur bazar itu sendiri.

“MKN tidak menetapkan bilangan laluan keluar masuk di setiap bazar, namun setiap laluan sama ada laluan masuk atau keluar hendaklah dikawal oleh petugas bazar terbabit dan perimeter laluan juga hendaklah berbeza,” katanya lagi.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1402
Kongsi :
Previous post Warga emas terima suntikan vaksin perlu terus patuhi SOP- Dr Noor Hisham
Next post APMM rampas 3 set bubu naga di perairan Klebang
Ubah saiz-+=