Sorting by

×

Bekalan MyKid selesai dalam tempoh enam bulan – JPN

Masa Membaca:1 Minit, 16 Saat

DUYONG 14 Januari – Masalah perolehan bekalan kad pengenalan diri kanak-kanak bercip (MyKid) dijangka diselesaikan dalam tempoh enam bulan dari sekarang.

Itu jaminan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) berkenaan isu kekurangan bekalan MyKid tersebut yang berlaku sejak pandemik COVID-19 melanda negara.

Ketua Pengarahnya, Datuk Ruslin Jusoh berkata isu bekalan MyKid berlaku disebabkan masalah kekurangan mikrocip yang turut mendapat permintaan di peringkat global termasuk penggunaan tinggi dalam bidang automotif.

“Jumlah pemohon yang masih belum mendapat MyKid tidak ramai, akan ada penangguhan sementara pengeluaran MyKid bagi menunggu bekalan berkenaan tiba.

“Proses (permohonan) akan berterusan, setelah perolehan baharu bekalan cip dan  kita akan serahkan secara berperingkat.

“Semua ibu bapa diharapkan sabar dan kita dalam proses perolehan baharu dan cuba akan selesaikan dalam tempoh enam bulan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media kepada selepas menyerahkan dokumen pengenalan diri (MyKad) kepada orang kurang upaya (OKU), Nur Aleeya Ammar pada Program MEKAR di Kampung Bukit Godek Semabok di sini, hari ini.

Hadi sama, Pengarah JPN Melaka, Norazalee Sulaiman.

Ujarnya, bagaimanapun bagi pemohon yang masih belum mendapat MyKid, penggunaam sijil kelahiran mereka adalah sah sebagai dokumen pengenalan diri.

“Semua agensi kerajaan mahupun swasta perlu menerima penggunaan sijil kelahiran bagi ibu bapa yang berurusan dengan mereka terutama yang masih menunggu permohonan MyKid.

“Sijil kelahiran adalah dokumen yang sah dikeluarkan oleh kerajaan, pihak berkenaan disarankan menggunapakai sijil kelahiran anak sebagai pengganti atau dokumen pengenalan diri.

“Selain Mykid, sijil kelahiran juga dokumen sah dikeluarkan kerajaan dan JPN sedang berusaha mempercepatkan proses ini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1662
Kongsi :
Previous post MEKAR bantu golongan memerlukan miliki pengenalan diri
Next post Telur ayam di Melaka cukup
Ubah saiz-+=