Bekas ratu cantik didakwa tumbuk polis, guna dadah THC

Masa Membaca:1 Minit, 44 Saat

PETALING JAYA 9 Julai – Seorang bekas ratu cantik mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas dua pertuduhan menumbuk anggota polis dan menggunakan dadah jenis Tetrahydrocannabinol (THC), semalam.

Bagi pertuduhan pertama, Kohinoor Damodaran Kaittiani, 29, didakwa menggunakan kekerasan jenayah bagi menakutkan penjawat awam, Koperal Sharulafirin Sarmadan dengan menumbuknya di Jalan Universiti di sini pada 3 pagi.

Dia didakwa mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

KOHINOOR (kanan) dan Shen Tying (dua, kiri) dibawa ke Mahkamah Majistret Petaling Jaya atas pertuduhan menumbuk anggota polis dan menggunakan dadah berbahaya. Foto- Sinar Harian.

Kohinoor juga didakwa menggunakan dadah jenis THC di Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya, pada 2 petang, tarikh sama.

Dia didakwa mengikut Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 15 akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya dan pengawasan tidak kurang dua tahun dan tidak lebih tiga tahun, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Lau Chia Xin menawarkan jaminan RM5,000 bagi setiap pertuduhan, namun peguam Datin Raj Preet Kaur yang mewakili Kohinoor memohon jaminan rendah atas alasan perniagaan restoran anak guamnya ditutup berikutan penularan COVID-19.

Majistret Zhafran Rahim Hamzah kemudian membenarkan Kohinoor diikat jamin RM2,000 bagi pertuduhan pertama dan RM1,000 bagi pertuduhan kedua, masing-masing dengan seorang penjamin serta menetapkan 6 Oktober depan untuk sebutan semula kes.

Sementara itu, rakan Kohinoor, Quek Shen Tying, 33, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menggunakan dadah jenis sama pada 2.15 petang, pada tempat dan tarikh sama, mengikut akta sama.

Mahkamah membenarkan Quek diikat jamin RM1,500 dengan seorang penjamin dan menetapkan 1 Oktober ini untuk sebutan semula kes.

Semalam, media melaporkan seorang wanita yang juga bekas ratu cantik ditahan selepas bertindak merempuh sekatan jalan raya dan menumbuk anggota polis dalam satu kejadian awal pagi di Lebuh Raya Persekutuan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

713
Kongsi :
Previous post Mohd Ali santuni pesakit Hospital Melaka
Next post Pemimpin UMNO tak setuju tarik sokongan kepada PN, Muhyiddin – Ismail Sabri
Ubah saiz-+=