Pemimpin UMNO tak setuju tarik sokongan kepada PN, Muhyiddin – Ismail Sabri

Masa Membaca:1 Minit, 16 Saat

KUALA LUMPUR 9 Julai – Arahan untuk menarik sokongan terhadap Perdana Menteri, dan Perikatan Nasional (PN) tidak dipersetujui oleh majoriti ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau yang baharu memulakan tugas sebagai Timbalan Perdana Menteri hari ini mengakui menjadi seorang daripada ahli MKT yang membantah keputusan itu.

Bercakap dalam wawancara bersama Berita Harian, Ismail Sabri yang juga Naib Presiden UMNO beranggapan tindakan itu sebagai sia-sia memandangkan situasi pandemik COVID-19 sedang di tahap membimbangkan.

“Ahli MKT yang tidak menghadiri mesyuarat (Rabu) hanyalah (Datuk Seri) Mahdzir Khalid yang tidak sihat dan dalam mesyuarat itu, mereka yang hadir mengatakan tidak setuju dengan keputusan menarik semula sokongan.

“Kita yakin kita perlu selesaikan masalah yang melibatkan rakyat terlebih dahulu kerana mereka dibebani oleh banyak perkara dan mereka harus menjadi keutamaan kami.

“Kita memahami keadaan rakyat dan kita melakukan yang terbaik untuk mencari jalan menolong mereka, jadi mari kita ketepikan politik buat masa ini. Ini bukan masa untuk menarik sokongan,” katanya kepada Berita Harian.

Mengulas lanjut, Ismail berkata, MKT turut memutuskan ahli Parlimen UMNO bebas mengundi di Parlimen dan memutuskan untuk menyokong Tan Sri Muhyiddin Yassin atau sebaliknya.

“Jadi, tidak seharusnya ada masalah. MKT mengakui ahli Parlimen boleh memutuskan jika mereka mahu menyokong Perdana Menteri atau tidak,” katanya lagi memetik laporan berkenaan.

Sebelum ini, pada Rabu, Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan parti itu menarik sokongan terhadap Perdana Menteri berkuat kuasa serta-merta, selain meminta Muhyiddin meletakkan jawatan secara terhormat.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

790
Kongsi :
Previous post Bekas ratu cantik didakwa tumbuk polis, guna dadah THC
Next post Dua kluster baharu tempat kerja direkod hari ini.
Ubah saiz-+=