Bekerja sambil belajar bukan perkara mudah
AYER KEROH 19 Ogos – Biarpun masih bergelar seorang pelajar namun hasrat bagi mendapatkan pekerjaan bukanlah perkara mudah bagi memfokuskan dua tanggungjawab itu.
Bagi pelajar Pengajian Islam dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Syafiqah Mohd Ariffin,21, berkata perkara itu perlu dihadapinya bagi menjana pendapatan dan menyara kehidupan keluarga.
Menurutnya, rasa syukur itu dizahirkan apabila terus mendapat pekerjaan apabila mencuba nasib di Karnival Penjana Kerjaya Perkeso di Dewan Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), hari ini.
Ujarnya yang sanggup datang dari Perak, perkara itu perlu dilaksanakan demi mengurangkan bebanan terhadap kos pengajiannya.
“Saya akan memfokuskan tanggungjawab sebagai pelajar dengan menyiapkan tugasan seperti diarahkan dan selepas selesai semua perkara itu saya akan memfokuskan kepada pekerjaan yang saya terima.
“Alhamdulillah, akhirnya niat nak bantu mak dan ayah tercapai dan saya harap pekerjaan yang diterima ini kekal demi menjana pendapatan saya.
“Terima kasih kerajaan negeri dan Perkeso dalam menjayakan program seperti ini dan ia perlu diadakan berterusan demi memberi peluang kepada anak muda seperti saya dalam mendapatkan pekerjaan daripada pengangguran yang berlaku,”katanya ketika ditemui Melaka Hari Ini.
Sementara itu, seoang graduan perakaunan daripada Universiti Teknologi MARA (UiTM), Nurhidayah Neemad,24, turut menerima khabar gembira apabila ditawarkan sebagai juruwang di sebuah pasar raya di negeri ini.
Ujarnya, biarpun profesion itu sedikit berbeza dengan apa yang dipelajarinya itu ia cukup memberikan satu rahmat kesyukuran buatnya yang hampir setahun menganggur.
Jelasnya, keadaan itu bertambah sulit apabila kebanyakan ‘cubaan nasib’ dalam mendapatkan pekerjaan sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tidak menerima sebarang maklum balas dari majikan.
“Alhamdulillah, biarpun ditawarkan sebagai juruwang saya tetap bersyukur asalkan ia mampu membantu saya dalam menguruskan perihal peribadi sekali gus membantu ahli keluarga sendiri.
“Sebagai graduan janganlah terlampau memilih pekerjaan biarpun apa yang dipelajari itu menjurus ke arah bidang profesional namun kita perlu mula dari bawah.
“Kita perlu kreatif demi kemajuan diri sendiri malah perlu belajar lebih mendalam sebagai persediaan kita pada masa akan datang,” jelasnya.
Nurhidayah yang merupakan anak kepada pengawal keselamatan menetap di Tanjung Kling, berharap agar setiap majikan perlu memainkan peranan dalam menarik graduan bekerja daripada menganggur.
Jelasnya, perkara itu sedikit megecewakan apabila kebanyakan majikan pada hari ini tidak menawarkan pekerjaan kepada graduan malah lebih menjurus kepada golongan profesional yang berpengalaman dalam mendapatkan pekerjaan.
“Berilah peluang ini kepada kami sebagai graduan kerana jika memikirkan soal pengalaman sampai bila masalah pengangguran ini dihadapi oleh kebanyakan graduan di negara ini.
“Majikan perlu fikir cara lain jika kami tiada kualiti, tiada pengalaman, mereka perlu fikir kaedah lain seperti menyediakan latihan kepada kami kerana saya rasa, kami boleh belajar dengan lebih mendalam.
“Hal ini, jika dengan latihan yang ditawarkan ini akan memberi peluang graduan dalam menimba pengalaman, kami dah penat menganggur jadi berilah kami peluang,” katanya.
Karnival Penjana Kerjaya Perkeso yang diadakan sejak semalam telah menerima sambutan orang awam khususnya golongan muda bagi mencuba nasib mendapatkan pekerjaan dari pelbagai agensi dan syarikat ditawarkan pada program terbabit.
Karnival yang diadakan di pusat pentadbiran kerajaan itu menerima sambutan tidak putus-putus membuatkan trafik di sekitar kawasan berkenaan sesak terutama pada waktu puncak.