Belajar pasang peralatan sanitasi sebelum buat sendiri

Masa Membaca:2 Minit, 5 Saat

PANTAI KUNDOR 4 Jun – Petugas Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (JAPERUN) Pantai Kundor, Tanjung Kling, di sini mengambil inisiatif melakukan sendiri sanitasi di empat surau di sini dalam usaha memastikan tempat ibadat itu bebas virus COVID-19.

Sanitasi itu dibuat di Surau Bilal wal Nikmah, Kampung Paya Rumput Jaya dan tiga surau di Tangga Batu iaitu Surau Kampung Bukit Salleh, Surau Kampung Solok dan Surau Kampung Paya Luboh.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Kundor, Datuk Nor Azman Hassan berkata, dia dan petugas JAPERUN sanggup mempelajari sendiri kaedah memasang peralatan mengepam bahan sanitasi daripada pihak tertentu.

NOR Azman (tengah) membantu Mohd Muaz menggulung hos penyembur sanitasi selepas kerja sanitasi di Surau Bilal Wal Nikmah di Kampung Paya Rumput Jaya, Tanjung Kling.

“Kami belajar dan kami pasang sendiri peralatan yang kami beli untuk memastikan bahan cecair sanitasi itu boleh disemburkan pada surau dan masjid bagi membantu menangani penularan pandemik COVID-19.

“Kami membelanjakan lebih RM5,000 untuk mendapatkan peralatan itu sebelum dimuatkan di atas kenderaan pacuan empat roda bagi menyembur bahan sanitasi,” katanya ketika menjalankan kerja sanitasi di Surau Bilal Wal Nikmah di Kampung Paya Rumput Jaya, di
sini.

Dia berkata, selain empat surau yang disembur bahan sanitasi semalam, kerja itu akan turut membabitkan baki 18 lagi surau dan sembilan masjid dalam DUN berkenaan.

Sementara itu, dua petugas JAPERUN, Azmi Leman, 52, dan Mohd Muaz Baharuddin, 32, bermandi peluh ketika memakai peralatan perlindungan diri (PPE) ringkas ketika menjalankan kerja sanitasi di empat surau.

Azmi berkata, selepas mengenakan PPE ringkas itu, baharulah dia memahami kesukaran yang terpaksa diharungi pasukan barisan hadapan dalam menangani COVID-19.

Beliau berkata, peralatan itu bukan setakat panas, malah menyebabkan pernafasannya agak tersekat berikutan terpaksa memakai pelitup muka dan pelindung muka yang agak merimaskan.

Azmi Leman menjalankan kerja sanitasi di Surau Bilal Wal Nikmah.

Mohd Muaz berkata, dia pertama kali memakai PPE ringkas itu dan sebelum ini hanya melihat ia digunakan petugas barisan.

“Bagaimana rasanya petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) seperti doktor, jururawat, pembantu perubatan dan sukarelawan yang memakai PPE dan bertugas siang malam melawan COVID-19?

“Saya sendiri tidak mampu memakai pakaian ini sepanjang masa dan sudah tentu akan cepat marah jika melihat sesiapa yang tidak mempedulikan prosedur operasi standard (SOP) berkaitan COVID-19,” katanya.

Sehubungan itu, beliau meminta anggota komuniti supaya sentiasa mematuhi SOP berkenaan dan tidak keluar rumah kecuali ada urusan amat penting.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

711
Kongsi :
Previous post Hampir 5,000 warga Melaka ikuti Bacaan Yasin Perdana secara maya
Next post Harimau Malaya gagal tebus maruah, tewas 0-4 kepada UAE
Ubah saiz-+=