Belanjawan ‘roh’ rakyat, memulihkan ekonomi pasca pandemik

Masa Membaca:2 Minit, 51 Saat

AYER KEROH 15 Dis. – Belanjawan Melaka 2021 dibentangkan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Haji Sulaiman Md Ali dilihat menyentuh semua lapisan masyarakat sekali gus dijangka merancakkan pemulihan ekonomi pasca COVID-19.

Buku setebal 113 muka surat mengandungi 12,000 perkataaan itu jelas meletakkan ‘roh’ rakyat apabila 126 perkataaan ‘rakyat’ disebut Sulaiman dalam ucapan selama dua jam di Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di Seri Negeri pada 9 Disember lepas.

Sekalipun terpaksa berdepan dengan kesan sektor kesihatan dan ekonomi akibat pandemik, belanjawan kali ini menyaksikan sejumlah RM445.86 juta diperuntukkan dengan hasil negeri dianggarkan RM445.96 juta, sekali gus mencatat lebihan 17 tahun berturut-turut sejak 2005.

Bertemakan Melaka Rumahku: Merancak Ekonomi, Membahagia Rakyat, Menggamit Dunia, Belanjawan Melaka 2021 adalah kali pertama dibentangkan Sulaiman, genap sembilan bulan selepas dilantik sebagai Ketua Menteri Ke-12, 9 Mac lalu.

SULAIMAN ketika membentangkan Belanjawan Melaka 2020 dalam Persidangan Ketiga (Bajet) Penggal Ketiga, Dewan Undangan Negeri Melaka Keempat Belas, pada 9 Disember lepas.

Beliau dalam ucapan pembentangannya berkata, belanjawan kali ini bukanlah yang biasa-biasa di saat negara sedang berdepan dugaan besar pandemik dunia yang tidak pernah ditempuhi, hatta terfikir dek akal fikiran sebelumnya.

“Walaupun kita menghadapi kutipan hasil dan ekonomi yang tidak menentu, selaras slogan Melaka yang meletakkan perkataan rakyat sebagai roh utama, kita tetap mengutamakan kepentingan setiap insan di Melaka.

“Pendekatan kami jelas, kita setiap hari bertemu dengan rakyat, kita dengar keluhan mereka, kita selami denyut nadi dan perasaan mereka.

“Semestinya saya pastikan bahawa tiada mana-mana golongan pun terpinggir daripada menerima bantuan dan manfaat atas prinsip, ‘no one is left behind’, ” katanya.

Sulaiman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lendu menambah, belanjawan sulungnya itu mengutamakan kebajikan rakyat dalam merancakkan pertumbuhan ekonomi melalui inisiatif yang dapat meningkatkan kesejahteraan rakyat.

Antara adalah pengumuman yang terus disalurkan kepada golongan sasar adalah pengurangan 50 peratus bayaran lesen penjaja dan peniaga kecil berjumlah RM590,000 memberi manfaat kepada seramai 10,715 peniaga.

Bagi kumpulan individu di sektor pelancongan, kerajaan turut memberi bantuan one-off bernilai RM600 kepada pemandu pelancong dan pemandu teksi selain RM200 masing-masing kepada 173 pemandu pelancong dan juga 141 pemandu bas pelancong.

SULAIMAN menyampaikan sumbangan kepada kepada setiap nelayan di kawasan DUN Kuala Linggi bagi meringankan bebanan mereka dalam satu majlis baru-baru ini.

Turut tidak terkecuali adalah sagu hati one-off kepada 1,100 nelayan berdaftar keseluruhannya berjumlah RM1.48 juta dengan pecahan RM2,000 untuk pemilik sampan serta RM250 untuk awak-awak.

Bantuan Susu Formula dengan peruntukan RM1.7 juta juga diberikan kepada pesakit terlantar, orang kurang upaya dan warga emas melibatkan 361 orang penerima selain 215 pengayuh beca berlesen menerima bantuan tunai one-off sebanyak RM200.

Golongan ibu yang melahirkan bayi Rabu lalu juga menerima ‘bonus’ apabila terpilih menerima pemberian khas berjumlah RM150 melalui pembukaan Akaun SSPN-i manakala semua bayi yang lahir di
Melaka, layak menerima simpanan SSPN-i berjumlah RM50 setiap seorang.

Dalam pembentangan itu, Sulaiman turut menyentuh kejayaan Melaka mengurangkan hutangnya kepada kerajaan Persekutuan sebanyak RM178.39 juta biarpun belum setahun berada di bawah pimpinan kerajaan hari ini.

“Pengurangan itu adalah daripada RM821.63 juta pada 2019, kepada RM643.24 juta tahun ini iaitu hampir 21.71 peratus dengan kejayaan pengurangan hutang berjumlah RM178.39 juta,” katanya.

Belanjawan Melaka 2021 berjumlah RM445.96 juta merangkumi perbelanjaan bekalan sebanyak RM436.38 juta selain perbelanjaan tanggungan adalah RM9.48 juta.

Views:

545
Kongsi :
Previous post Jumlah saman trafik di Melaka meningkat 51 peratus antara Januari dan November
Next post Perintah Berkurung perairan ESSZone lanjut hingga 31 Disember
Ubah saiz-+=