Jumlah saman trafik di Melaka meningkat 51 peratus antara Januari dan November

Masa Membaca:1 Minit, 38 Saat

MELAKA, 14 Dis – Jumlah saman yang dikeluarkan kepada pesalah lalu lintas di Melaka meningkat sebanyak 51 peratus kepada 199,817 saman dalam tempoh Januari hingga November tahun ini berbanding 132,153 dalam tempoh sama tahun lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik Melaka Supt Hasan Basri Yahya berkata terdapat dua kategori saman iaitu POL 257 merupakan saman yang dikeluarkan secara langsung kepada pesalah trafik apabila kesalahan dikesan, manakala POL 170A adalah notis yang dikeluarkan secara pos atau diletakkan pada kenderaan atas kesalahan trafik yang dilakukan tanpa kehadiran pemandu atau ditahan polis.

“Secara keseluruhan kedua-dua saman itu menunjukkan peningkatan, tetapi dalam tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan PKP Bersyarat (PKPB) yang lepas, pengeluaran saman berkurangan sedikit kerana pergerakan lalu lintas tidak sibuk seperti biasa.

“Namun, selepas tamat PKPB baru-baru ini, kita dapat lihat peningkatan kenderaan masuk ke Melaka pada minggu lepas iaitu melebihi 60 peratus dan jumlah kenderaan kira-kira 50,000 hingga 60,000 sehari,” katanya pada sidang akhbar ‘Jom Bayar Saman’ di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Melaka di sini hari ini.

Beliau berkata pemantauan dan penguatkuasaan di laluan utama dan kawasan yang sering mengalami kesesakan akan ditingkatkan bagi memastikan kelancaran trafik khususnya pada hujung minggu.

Katanya Ops Lancar juga akan diadakan pada 23 hingga 26 Dis depan kerana Melaka dijangka menerima peningkatan kedatangan pelancong dari luar ekoran cuti sambutan Hari Krismas.

Sementara itu, Hasan Basri berkata pesalah trafik di Melaka berpeluang mendapat diskaun bayaran saman sebanyak 50 peratus selama 14 hari bermula esok hingga 30 Dis ini.

Beliau berkata pembayaran saman berkenaan boleh dilakukan di IPK Melaka, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah, IPD Alor Gajah dan IPD Jasin pada Isnin hingga Jumaat bermula pukul 8.00 pagi hingga 4.00 petang.

“Diskaun saman 50 peratus hanya melibatkan Melaka, Johor dan Negeri Sembilan. Justeru, rakyat Melaka digesa tidak melepaskan peluang ini dan kali ini tempoh pembayaran dipanjangkan bagi mengelak kesesakan orang ramai di kaunter pembayaran saman selain mencegah penularan COVID-19,” katanya.- BERNAMA

Views:

1440
Kongsi :
Previous post Infrastruktur di Merlimau akan dinaik taraf
Next post Belanjawan ‘roh’ rakyat, memulihkan ekonomi pasca pandemik
Ubah saiz-+=