Infrastruktur di Merlimau akan dinaik taraf

Masa Membaca:1 Minit, 20 Saat

JASIN, 14 Dis – Kemudahan awam dan infrastruktur di sekitar Merlimau di sini akan dinaik taraf dalam masa terdekat berikutan kawasan berkenaan semakin popular dalam kalangan pelancong dan berpotensi untuk dibangunkan sebagai daerah baharu di Melaka.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Kemudahan Awam dan Infrastruktur Melaka, Datuk Roslan Ahmad berkata langkah itu selaras dengan hasrat kerajaan negeri membangunkan dua lagi daerah baharu di negeri ini termasuk kawasan Masjid Tanah.

“Usaha ini secara tidak langsung dapat meningkatkan lagi kualiti penyampaian perkhidmatan pihak berkuasa tempatan kepada rakyat, selain dilihat mampu memberi limpahan manfaat kepada penduduk setempat di kawasan tersebut.

“Pada peringkat awal, proses menaik taraf ini akan difokuskan kepada kawasan tumpuan pelancong termasuk Makam Tun Teja, Jeti Pantai Siring, Galeri Demang Abdul Ghani, Jeti Kuala Merlimau dan Kuala Sempang,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Terdahulu, beliau menyempurnakan perasmian Pejabat Cawangan Majlis Daerah Jasin (MPJ) dan simbolik Pembukaan Kaunter Mayang Sari Ekspress di Bandar Merlimau, yang turut dihadiri Yang Dipertua MPJ, Datin Sapiah Haron.

Roslan berkata penubuhan daerah Merlimau akan mengambil kira pelbagai aspek meliputi kerja-kerja pengumpulan data serta maklumat untuk dibawa kepada Kerajaan Persekutuan dan seterusnya mendapat kelulusan kabinet serta pelbagai proses lain.

“Bagaimanapun, usaha ini memerlukan masa dan tempoh tertentu selain fokus kerajaan negeri kini ditumpukan kepada merealisasikan penubuhan daerah penuh bagi Masjid Tanah terlebih dahulu,” kata Ahli Dewan Undangan Negeri Merlimau itu.

Merlimau berkeluasan 4,674 hektar, merupakan salah sebuah mukim dalam daerah Jasin, mempunyai potensi besar untuk dibangunkan kerana kedudukannya yang strategik dan menjadi laluan utama ke negeri Johor.

Sehingga kini, Melaka hanya mempunyai tiga daerah iaitu Melaka Tengah, Jasin dan Alor Gajah.- BERNAMA

Views:

1160
Kongsi :
Previous post MICTH dilantik urus telekomunikasi Melaka
Next post Jumlah saman trafik di Melaka meningkat 51 peratus antara Januari dan November
Ubah saiz-+=